FoodsViral

Tersilap Caj RM2 Bagi Harga 2 Lobster, Keluarga Jujur Ini Kembali Ke Restoran, Bayar Harga Sebenar Hidangan Mewah

Pemilik Cheng Ji Seafood Restaurant di Singapura secara tidak sengaja terkurang caj sekumpulan pelanggan bagi hidangan lobster pada hari kedua Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Menurut laporan Shin Min Daily News, keluarga itu hanya membayar 2 dolar Singapura (RM6.16) untuk hidangan lobster yang sepatutnya bernilai 200 dolar Singapura (RM616), selepas pemilik restoran tersalah memasukkan harga.

Selepas menyedari kesilapan tersebut, pelanggan berkenaan kembali ke restoran pada keesokan harinya untuk menjelaskan baki 198 dolar Singapura (RM609).

“Ia memang sangat jarang berlaku dan kami rasa amat bertuah. Bukan semua pelanggan ambil resit dan lebih jarang lagi ada yang menyemak resit serta kembali semula untuk membayar baki selepas mendapati restoran tersalah caj,” kata pemilik restoran, Dai Xiangying kepada Shin Min.

Dai menjelaskan, pada awalnya, pelanggan ingin memesan seekor lobster Australia berharga 168 dolar Singapura (RM), namun saiz lobster yang diingini tiada dalam stok. Mereka kemudian menukar pesanan kepada dua ekor lobster Australia bersaiz lebih kecil yang berjumlah 200 dolar Singapura (RM616).

Lobster Australia merupakan antara hidangan paling mahal dalam menu restoran itu.

Memandangkan situasi restoran sangat sibuk sepanjang tempoh Tahun Baharu Cina, menurut Dai, pihak restoran tidak menyedari kesilapan tersebut sehinggalah pelanggan kembali untuk membayar baki harga makanan tersebut.

Dai kemudiannya memuat naik hantaran di Facebook untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang jujur itu, selain menghadiahkan angpau kepada dua anak perempuan mereka.

Beberapa pengguna turut memuji tindakan ibu bapa berkenaan kerana menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka.

Sumber: Mothership

Related Articles

Back to top button