
Pelakon tersohor kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh, 65, sekali lagi mencipta sejarah apabila namanya diabadikan dengan bintang tersendiri di Hollywood Walk of Fame, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai ikon perfileman dunia.
Menggambarkan momen bersejarah itu sebagai sesuatu yang sukar dipercayai, Yeoh meluahkan rasa terharu apabila diraikan dalam suasana penuh emosi bersama peminat setia serta rakan industri yang disifatkannya sebagai keluarga pilihan sepanjang perjalanan seninya.
Bermula sebagai pelakon filem aksi Hong Kong pada era 1990-an sebelum menembusi pasaran antarabangsa, Yeoh mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk memiliki bintang sendiri di Hollywood Boulevard.
“Bintang ini mungkin hanya satu simbol, tetapi ia mewakili begitu ramai individu yang membantu membentuk perjalanan saya dalam dunia seni.
“Saya berharap ia menjadi peringatan bahawa segalanya adalah mungkin. Dari mana kita bermula tidak menentukan sejauh mana kita boleh melangkah,” katanya kepada pemberita.
Pelakon filem Everything Everywhere All at Once itu turut mendedikasikan pengiktirafan berkenaan kepada ibunya serta mendiang bapanya, sambil menyifatkan bintang tersebut sebagai ‘bintang kita’.
Majlis penganugerahan itu turut diserikan dengan kehadiran dua pengarah terkenal dunia, Ang Lee dan Jon M. Chu, yang masing-masing menyampaikan ucapan penghormatan buat pemenang Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi 2023 itu.
Lee memuji Yeoh sebagai pelakon luar biasa dengan disiplin serta profesionalisme tinggi, manakala Chu menyifatkannya sebagai sinar harapan yang membuka jalan kepada perubahan generasi dalam industri perfileman global.
Sebelum ini, Yeoh mencatat sejarah sebagai pelakon Asia pertama memenangi Anugerah Akademi (Oscar) dan membintangi pelbagai filem ikonik termasuk Crouching Tiger, Hidden Dragon, Tomorrow Never Dies dan Crazy Rich Asians.
Dalam perkembangan lain, Yeoh turut menerima Anugerah Golden Bear Kehormat bagi Pencapaian Sepanjang Hayat pada Berlin International Film Festival (Berlinale) baru-baru ini, sekali gus menambah deretan pengiktirafan antarabangsa dalam kerjayanya yang cemerlang.



