ConcertMusic

Isu Gangguan Bunyi, Penganjur Konsert Ella Buat Laporan Polis

Isu gangguan bunyi yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penonton akhirnya mendapat penjelasan rasmi apabila pihak penganjur Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen yang menampilkan Ratu Rock, Ella yang tampil memohon maaf secara terbuka atas insiden berkenaan.

Menerusi kenyataan bersama membabitkan Hitman Solutions, Rockqueen dan Digital Aid Sdn. Bhd., penganjur menjelaskan bahawa keseluruhan perjalanan konsert berjalan seperti dirancang, namun pengalaman segelintir penonton tercalar akibat masalah audio yang berlaku di kawasan tertentu, khususnya di tingkat tiga Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut pihak penganjur, aduan yang dibangkitkan secara meluas di media sosial mendorong mereka mengadakan perbincangan teknikal bersama Perbadanan Stadium Malaysia, pasukan pengurusan artis serta kru teknikal bagi meneliti punca sebenar gangguan tersebut.

Hasil siasatan mendapati sistem audio di lokasi berkenaan telah berubah kepada tetapan lalai atau mod ‘default’, sekali gus menyebabkan kualiti bunyi tidak seperti konfigurasi asal yang ditetapkan ketika sesi raptai.

Susulan itu, pasukan teknikal segera mengambil tindakan pembetulan di bilik kawalan SRS dan berjaya memulihkan sepenuhnya sistem bunyi sekitar jam 9.50 malam pada hari kejadian.

Penganjur turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat pada 16 Februari 2026 sebagai langkah serius bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap perubahan sistem berkenaan.

Dalam masa sama, mereka menyatakan kesediaan untuk memberikan pampasan kepada penonton yang terjejas, dengan fokus utama kepada pemegang tiket kategori Bronze, sebagai usaha bertanggungjawab terhadap pengalaman penonton.

Pihak penganjur turut menegaskan bahawa kepuasan penonton sentiasa menjadi keutamaan dan perincian berkaitan imbuhan sedang diperhalusi.

Sebelum ini, konsert berkenaan menjadi perbualan hangat apabila ramai penonton meluahkan kekecewaan terhadap mutu bunyi menerusi platform media sosial, meskipun persembahan artis menerima pujian dan berlangsung dengan baik sepanjang acara.

Related Articles

Back to top button