Liyana Jasmay Terbang Ke Korea Selatan Setahun Sekali Untuk Rawatan Kulit

Pelakon, Liyana Jasmay, 38, menafikan dakwaan kononnya dia pernah menjalani pembedahan plastik untuk mengubah penampilan wajah, sebaliknya mengakui hanya melakukan rawatan kulit secara berkala.
Menurut Liyana, dia langsung tidak terfikir untuk melakukan sebarang prosedur mengubah struktur wajah kerana berasa bimbang dan tidak berani mengambil risiko.
Sebaliknya, dia memilih untuk terbang ke Korea Selatan setahun sekali bagi mendapatkan rawatan kulit bersama pakar dermatologi di sana.
“Ubah muka memang tak pernah terlintas di fikiran. Saya takut nak buat muka. Saya cuma buat rawatan kulit sahaja seperti skin boosting dan kolagen,” katanya.
Tambah pelakon itu, keputusannya mendapatkan rawatan di Korea Selatan bukan kerana trend, sebaliknya disebabkan rawatan tertentu yang diinginkan tidak ditawarkan di Malaysia.
“Saya pergi ke sana sebab rawatan itu memang tiada di Malaysia. Saya sudah bertanya doktor di sini dan mereka sarankan ke Korea. Klinik yang saya pilih pula di Gangnam dan bukan klinik pelancong,” jelasnya.
Menurut Liyana, dia mengambil masa berbulan-bulan untuk membuat kajian sebelum memilih doktor kerana melibatkan rawatan pada wajah. Kos rawatan pula sekitar RM1,600 dan hanya dilakukan setahun sekali.
“Saya sudah dua kali ke sana. Rawatan lain saya masih buat di Kuala Lumpur. Pergi pun sambil melancong,” jelas aktres itu lagi.
Sebelum ini, Liyana mencetuskan perhatian apabila memuat naik hantaran di Instagram Story yang seolah-olah memberi bayangan mahu tampil dengan transformasi baharu pada tahun 2026, termasuk berseloroh ingin melakukan perubahan pada hidung, rahang dan leher.
Bagaimanapun, jelasnya, perkongsian itu hanyalah gurauan semata-mata untuk melihat reaksi orang ramai di media sosial.



