“Bukan Menolak Bertudung, Saya Percaya Semua Berlaku Dengan Izin Allah”

Pelakon dan pengacara, Didie Alias, 54, menganggap pertanyaan serta komen sinis segelintir netizen mengenai penampilannya, termasuk isu berhijab, sebagai perkara biasa yang tidak lagi mengganggu emosinya.
Pemilik nama sebenar Fadzilah Mohd. Ali, berkata dia sudah terbiasa menerima komen sedemikian setiap kali berinteraksi dengan pengikut di media sosial, khususnya ketika melakukan siaran langsung.
“Memang hampir setiap kali buat siaran langsung, akan ada komen negatif. Ada yang masuk dan bercakap kasar atau mempersoalkan perkara peribadi saya.
“Tapi saya tidak ambil hati. Prinsip saya mudah, kalau komen itu melampau atau tidak elok, saya terus sekat. Tak perlu panjangkan cerita,” katanya.
Dalam pada itu, Didie menjelaskan kebanyakan kritikan yang diterima datang daripada pihak luar, manakala sokongan sebenar banyak diterimanya daripada anak-anak dan kenalan rapat yang sentiasa memberi kata-kata semangat.
“Baru-baru ini saya terlibat dengan penggambaran untuk sebuah jenama fesyen. Anak-anak melihat hasilnya dan mereka puji, kata cantik. Dalam kumpulan WhatsApp pun mereka saling mendoakan.
“Itu yang paling bermakna bagi saya. Doa anak-anak adalah kekuatan utama,” katanya lagi.
Menyentuh soal penghijrahan diri, Didie menegaskan perkara tersebut bukan sesuatu yang boleh dipaksa kerana melibatkan keikhlasan hati dan ketentuan Ilahi.
“Bukan saya menolak untuk bertudung. Saya percaya semua berlaku dengan izin Allah. Kalau suatu hari nanti pintu hati saya dibuka ke arah itu, saya anggap itu rezeki.
“Saya sentiasa berdoa dan minta anak-anak turut mendoakan saya. Mungkin masanya akan tiba, cuma bila, saya sendiri tidak tahu,” ujarnya.



