GlobalViral

Pelancong Tersalah Anggap Majlis Pengebumian Sebagai Restoran, Keluarga Thailand Tetap Layan Dengan Baik

Apa yang sepatutnya menjadi sebuah acara penuh kesedihan di Thailand bertukar menjadi detik yang menghangatkan hati selepas beberapa pelancong tersalah anggap majlis tersebut sebagai sebuah restoran.

Satu majlis pengebumian yang berlangsung pada 31 Januari lalu di bandar Nakhon Si Thammarat menjadi tular selepas sebuah video dikongsikan oleh pengguna Facebook, Charantorn Chareomkiad, memaparkan keluarganya menyambut kehadiran pelancong asing dengan menghidangkan makanan.

Menurut laporan Thaiger, para pelancong tersebut akhirnya memohon maaf dan mengucapkan terima kasih atas layanan mesra yang diberikan.

Dalam klip berkenaan, dua lelaki berkulit putih dilihat duduk di sebuah meja yang disediakan untuk tetamu majlis pengebumian. Seorang wanita kemudiannya dilihat menghidangkan air minuman kepada mereka.

“Adakah mereka fikir ini bufet?” gurau Charantorn yang kedengaran di latar belakang video tersebut.

Charantorn kemudian membenarkan ahli keluarganya untuk terus menghidangkan makanan kepada dua lelaki itu.

Namun, itu bukan satu-satunya salah faham yang berlaku pada majlis tersebut.

Pada 1 Februari, tiga lagi pelancong lelaki dari Belanda turut memasuki kawasan itu dengan niat untuk mendapatkan minuman, sebelum menyedari ia merupakan sebuah majlis pengebumian.

Ada netizen Thailand yang terhibur dengan kekeliruan para pelancong, manakala segelintir yang lain berasa kurang senang dan berpendapat keluarga itu tidak sepatutnya menggalakkan tingkah laku tersebut.

Namun begitu, ramai yang memuji sikap baik hati tuan rumah dan menyatakan bahawa layanan mesra seperti itu memang sebahagian daripada budaya masyarakat Thailand.

Related Articles

Back to top button