
Pelakon Jung Hae In secara tidak dijangka terheret dalam satu perdebatan netizen susulan rakaman video yang dirakam ketika dia menghadiri acara pertunjukan fesyen Dolce & Gabbana yang berlangsung di Milan, Itali baru-baru ini.
Rakaman tersebut menunjukkan Hae In duduk antara dua lelaki lain yang dikatakan mengambil ruang banyak di kiri dan kanan pelakon itu, dengan posisi kaki terbuka.
Hae In pula dilihat duduk dengan kaki rapat, seolah-olah berada dalam ruang duduk sempit tanpa ruang mencukupi untuk meluruskan kakinya.
Netizen mendakwa, mereka merasakan Hae In berada dalam situasi yang kurang selesa ketika menonton acara berkenaan.
Situasi itu menarik lebih perhatian apabila dua lelaki berkenaan dilihat berbual merentasi Hae In atau bertindak seolah-olah tidak mengendahkan kehadirannya.
Dalam video tersebut, Hae In kelihatan gelisah, mengunyah gula-gula getah dan memandang ke arah mereka.
Beberapa netizen mendakwa kelakuan lelaki itu sebagai tidak sopan. Malah, ada yang membuat spekulasi mengenai kemungkinan kurang pertimbangan terhadap orang Asia berasaskan kaum serta mengabaikan bintang Asia di acara rasmi dalam beberapa platform media sosial.
Selain itu, turut majalah fesyen GQ turut didakwa menandai akaun media sosial tetamu lain di platform rasmi mereka, namun tidak menyertakan akaun akaun media sosial milik Hae In.
Bagaimanapun, ada juga pihak yang menggesa orang ramai agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru.
“Sukar untuk mengaitkan isu perkauman hanya berdasarkan susunan tempat duduk atau rakaman singkat.”
“Ia mungkin salah faham dalam suasana pertunjukan fesyen yang biasanya lebih bebas.”
Ketika video tersebut terus tersebar, pelbagai tafsiran masih muncul dalam talian, dan insiden yang dialami Jung Hae In di acara luar negara itu terus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan komuniti dalam talian dan pengguna media sosial.
Sumber: Allkpop



