
Seorang peniaga gerai char kuetiau terkenal di Pulau Pinang mengejutkan isterinya dan peniaga lain apabila dia tiba-tiba muntah darah semasa sedang bekerja.
Menurut China Press, kejadian berlaku sekitar beberapa hari lalu ketika lelaki berusia 71 tahun itu, Chen Muquan, sedang mengendalikan gerai char koay teownya di Lebuh Cecil.
Ketika menyediakan pesanan pelanggan, dia secara tiba-tiba muntah sejumlah besar darah sehingga mengotorkan bajunya dan lantai.
Begitupun, Chen tidak pengsan dan masih sedar serta mampu berfikir dengan jelas.
Situasi itu mengejutkan isterinya dan peniaga lain, yang segera membantunya duduk di atas kerusi dan membersihkan kawasan rtersebut menggunakan tisu.
Sebuah ambulans kemudian tiba di lokasi dan membawa Chen ke Hospital Pulau Pinang.
Beberapa peniaga lain memberitahu China Press yang Chen pernah menjalani pembedahan jantung sebelum ini dan pernah mengalami ketidakselesaan secara tiba-tiba semasa memasak.
Pemeriksaan di hospital kemudiannya mengesahkan bahawa dia mengalami pendarahan gastrik.



