BeritaLakon Layar

SENIMAN Rakan Strategik Program Ilham Seni Diraja, Terima Watikah Pelantikan Kluster Lakonan

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) melakar satu lagi detik bermakna apabila dipilih sebagai rakan strategik dalam Majlis Pelancaran Program Ilham Seni Diraja, yang berlangsung penuh istiadat di Istana Negara, Rabu lalu.

Majlis berprestij itu telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Zarith Sofiah, sekali gus menyerlahkan komitmen berterusan Baginda dalam memartabatkan seni, budaya serta kebajikan anak bangsa.

Pada majlis sama, SENIMAN turut menerima Watikah Pelantikan bagi Kluster Lakonan yang dianugerahkan oleh Raja Permaisuri Agong sebagai pengiktirafan terhadap peranan aktif persatuan itu dalam pembangunan seni kreatif tanah air.

Penglibatan SENIMAN dalam Program Ilham Seni Diraja dilihat sebagai satu amanah besar, khususnya dalam usaha mendidik dan membimbing generasi muda agar terus memperkasa seni kreatif berteraskan nilai budaya dan identiti nasional.

Menerusi inisiatif berkenaan, seramai 200 pelajar daripada golongan B40 di Wilayah Persekutuan akan dilatih dan dibimbing dalam pelbagai bidang seni dan kreatif, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan bakat serta peluang kerjaya dalam industri berkenaan.

Lebih menarik, program ini bukan sekadar pelaksanaan bersifat sementara, sebaliknya dirangka sebagai inisiatif jangka panjang yang dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan peserta menerima latihan, pendedahan serta sokongan berterusan.

Pendekatan holistik ini diyakini mampu membantu meningkatkan kemahiran, keyakinan diri serta taraf sosioekonomi para peserta, selain melahirkan bakat seni baharu yang berdaya saing dan berpotensi menyumbang kepada industri kreatif negara.

SENIMAN menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan dan beriltizam untuk terus berganding bahu menjayakan hasrat murni Raja Permaisuri Agong demi masa depan seni dan generasi muda Malaysia. Daulat Tuanku.

Related Articles

Back to top button