Ziarah Kubur Siap Letak Telur, Duit Atas Pusara
Ziarah Kubur Siap Letak Telur, Duit Atas Pusara? Ini Sebabnya…
Viral di media sosial baru-baru ini mengenai sebuah video yang memperlihatkan aktiviti meletakkan telur dan duit atas kubur di sebuah perkampungan di Indonesia.
Perkara tersebut meraih perhatian ramai memandangkan ia bukanlah satu amalan yang selari dengan ajaran agama Islam sewaktu berziarah ke kuburan.
Menerusi video yang tular, kelihatan permukaan kubur berkenaan dialas dengan kain batik dan pada permukaan kain batik itu disusun beberapa jenis barangan seperti telur itik, kopi, bunga tabur dan beberapa keping wang.
Tidak hanya itu, terdapat juga sebilangan keluarga yang dilihat bersantai sambil berkelah di tepi kubur.
Malah sebahagian keluarga yang lain dilihat santai dan berkelah sambil minum di tepi kubur.
Difahamkan, aktiviti tersebut didakwa sebagai tradisi biasa yang dilakukan sejak zaman nenek moyang di Selang, Cibitung, Bekasi.
“Ziarah kubur orang tua, tradisi adat kampung ini (orang Selang, Cibitung). Biarkan sahaja kerana kami hanya meneruskan tradisi yang telah dilakukan orang terdahulu,” tulis kenyataan kepada video tersebut seperti dilaporkan Banjarmasin Tribunenews.
Menerusi laporan sama, duit yang diletakkan atas kubur akan dibawa pulang dan diberikan kepada orang yang datang menziarah. Selain itu telur yang diletakkan juga akan dimakan bersama-sama.
“Telur dimakan bersama, duit diberikan kepada cucu cicit dan anak-anak,” tambah kapsyen itu lagi.