Zehra Zambri Dalam Keadaan Tidak Suci, Lafaz Cerai Tangguh 20 Ogos

Proses lafaz cerai Zehra Zambri dengan suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin ditangguhkan ke 20 Ogos ini selepas mahkamah dimaklumkan penyanyi itu berada dalam keadaan tidak suci.

Peguam Syarie yang mewakili Zehra, Abd Muiz Samsuri, berkata penangguhan itu diputuskan selepas kedua-dua pihak menghadiri Majlis Tahkim selama kira-kira dua jam di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, pada Rabu.

“Alhamdulillah, sesi pagi tadi berjalan lancar. Kedua-dua pihak mencapai persetujuan dan defendan bersetuju untuk melafazkan talak pada hari ini. Namun, atas nasihat mahkamah, ia terpaksa ditunda kerana plaintif berada dalam keadaan tidak suci,” katanya.

Mengulas mengenai empat daripada lima tuntutan Zehra yang pada awalnya tidak dipersetujui suami, Abd Muiz menjelaskan isu tersebut telah diselesaikan tanpa sebarang syarat selepas perbincangan dengan hakam.

Abd Muiz tidak menolak kemungkinan defendan boleh mengubah keputusan sebelum tarikh lafaz, namun berharap persetujuan yang dicapai menerusi proses rasmi itu dihormati.

Sebelum ini, Iqwan hanya bersetuju dengan satu tuntutan iaitu tiada persefahaman dan enggan menceraikan isterinya.

Antara tuntutan lain yang dikemukakan Zehra termasuk culas menjalankan tanggungjawab, pengabaian, sikap suami, serta perkahwinan yang didakwa tidak lagi dapat diselamatkan.

Selesai prosiding, Zehra meluahkan rasa lega kerana kes yang difailkan sejak Mac lalu semakin hampir ke penghujungnya.

“Memang lega sebab kes ini sudah lama berlarutan. Cuma sayang, hari ini tak dapat diselesaikan kerana keadaan saya. Harap minggu depan jadi tarikh terakhir saya ke mahkamah,” kata pelantun lagu Semalakama itu.

Menurut Zehra, sebelum ini suaminya pernah menyatakan kesediaan untuk melafazkan cerai tetapi mengenakan syarat tertentu. Bagaimanapun, pada prosiding pada Rabu, Iqwan bersetuju untuk meneruskan lafaz cerai.

Imbas kembali, Zehra memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ pada 7 Mac lalu selepas mendakwa lebih tiga tahun berusaha mempertahankan rumah tangga.

Mereka berkahwin pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Zahiyah Iqleela, yang kini berusia tiga tahun.

Related post

Leave a Reply