Wujud Campur Tangan, Nora Tekad Fail Cerai
Penyanyi Datuk Nora Ariffin mengesahkan akan membuat permohonan cerai terhadap suaminya, Dr Rushdi setelah berhadapan dengan pelbagai kemelut dalam rumah tangga sejak beberapa bulan lalu.
Jelasnya, tindakannya untuk membuat permohonan cerai pada 21 April ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya merupakan tindakan akhir setelah gagal dalam beberapa perbincangan dengan beberapa pihak berkenaan.
“Tidak dinafikan bahawa segala usaha untuk memulihkan rumah tangga kami telah melalui pelbagai peringkat termasuklah sesi pertemuan dan perbincangan bersama pihak tersebut tetapi masih tidak mencapai kata penyelesaian.
“Malah menjejaskan keselamatan serta merosakkan reputasi saya sebagai seorang artis yang telah bergiat sekian lama dalam industri muzik,” katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media.
Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema ini lagi, beliau tekad dengan keputusan untuk memfailkan penceraian berikutan wujud campur tangan dalam perkahwinan yang dibina.
Untuk menghentikan segala spekulasi dan memberikan penjelasan terhadap isu sebenar, Nora berharap kenyataan ini mampu meredakan isu yang sedang dihadapi.
“Hal ini berikutan wujudnya campur tangan pihak ketiga sehingga perkahwinan kami tidak lagi dapat diteruskan dengan aman. Malah, turut memberi kesan kepada keselamatan saya sehingga membawa kepada pengabaian.
“Atas faktor keterdesakan dan kebaikan semua pihak, saya tetap bersama keputusan saya bagi meneruskan tindakan perceraian ini,” tambahnya lagi.