Viral

“Ustaz Sudah Jelaskan” – Siti Nurhaliza Enggan Panjangkan Isu Solat Tanpa Telekung

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, memilih untuk tidak memanjangkan isu tular membabitkan foto dirinya menunaikan solat tanpa memakai telekung, sebaliknya menegaskan perkara berkaitan ibadat tidak wajar dijadikan polemik di media sosial.

Menurut Siti, penjelasan mengenai isu tersebut sudah diberikan oleh pihak yang lebih arif dalam bidang agama, justeru dia merasakan tidak perlu mengulas perkara sama secara berulang kali.

“Bagi saya, soal yang berkaitan dengan ibadat, saya tidak perlu hendak membalas semula sebab ustaz pun sudah jelaskan. Tidak perlu pun saya kata apa-apa. Kita yang beragama Islam pun tahu apa yang sepatutnya.

“Tetapi, pada masa sama, saya masih lagi memperbaiki diri dan amalan saya. Apa yang saya harapkan, Allah semakin beri saya kekuatan dan kesabaran,” katanya.

Dalam pada itu, Siti turut menjelaskan pemakaian jubah ketika solat bukanlah sesuatu yang baharu dan dia sama sekali tidak berniat untuk mempengaruhi atau menjadi ikutan kepada sesiapa.

“Solat guna jubah bukan bermula dari saya. Sebelum ini orang sudah tahu kita solat perlu tutup aurat. Tidaklah saya buat itu untuk orang ikut saya. Saya fikir ini terpulang kepada individu.

“Apa yang ditetapkan agama seperti menutup aurat Ketika solat dengan sempurna, itu sudah cukup untuk kita tahu,” ungkap ibu dua anak itu lagi.

Mengulas kritikan netizen, pelantun lagu Nirmala itu mengakui teguran kadangkala boleh dijadikan peringatan, namun berharap tidak melampaui batas sehingga menjurus kepada fitnah.

“Kadang-kadang ada orang bercakap untuk tegur kita, mungkin ia boleh bagi kelebihan buat kita. Bagi saya, ini memang normal pada zaman media sosial, mudah jadi trend.

“Semua orang masing-masing ada pendapat, cuma jangan sampai jatuh fitnah. Kalau sampai datangkan dosa, itu sudah jadi kesalahan. Kita kena cepat-cepat sedar,” katanya.

Siti juga enggan menyalahkan individu yang merakam foto berkenaan, sebaliknya berpandangan isu tersebut timbul akibat segelintir pihak yang memperbesarkan perkara itu melalui komen di media sosial.

“Mungkin yang rakam gambar itu tidak berniat untuk mencetuskan sensasi. Tetapi apabila orang yang komen jadikan ia satu isu, jadi saya tidak mahu kata orang yang rakam itu salah.

“Orang yang memperkatakan itu, dia bertanggungjawablah dengan apa yang dia katakan. Apa pun, apa sahaja yang Siti Nurhaliza buat, pasti ada orang bercakap.

“Saya boleh nilai sendiri penulisan dan komen itu. Kalau peminat, saya sudah faham peminat saya. Kalau yang menulis sebaliknya, saya tahu dia bukan peminat saya.

“Selagi saya masih boleh memberi semula kepada masyarakat dan peminat dalam bentuk yang positif, saya akan teruskan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Siti mengakui ada keadaan tertentu yang memerlukan dirinya bersuara, bergantung kepada kesan isu tersebut terhadap dirinya.

Sejak beberapa hari lalu tular foto memperlihatkan Siti menunaikan solat dengan berjubah selepas menghadiri sebuah majlis berbuka puasa, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, yang dilaporkan menjelaskan bahawa solat penyanyi nombor satu negara itu adalah sah.

Related Articles

Back to top button