Tak Nak Sertai Jamuan Raya Sekolah Sebab Tak Boleh Mekap…

Apabila tibanya bulan Syawal, sudah pasti ramai yang mengambil kesempatan untuk mengadakan rumah terbuka bagi mengeratkan hubungan silaturrahim.

Tidak terkecuali, sekolah-sekolah juga turut berbuat perkara sama mengadakan jamuan yang disertai guru dan juga para pelajar.

Ketika ramai yang tidak sabar untuk menyertai jamuan sekolah, ada seorang individu yang didakwa sebagai pelajar tampil meluahkan perasaan mengenai jamuan makan yang diadakan.

Pelajar itu mendakwa, dia tidak berasa teruja untuk mengambil bahagian dalam acara makan-makan anjuran sekolahnya gara-gara peraturan yang dikenakan disifat sebagai tidak masuk akal.

“Sekarang makin malas nak pergi jamuan raya di sekolah sebab peraturan sekolah makin lama makin mengarut.

“Kata nak happy tapi make up sikit tak boleh, tudung shawl tak boleh pakai, phone tak boleh bawa, wajib kasut sekolah. Baik tak payah buat jamuan,” luahnya di TikTok.

Begitupun, luahan pelajar itu mendapat kritikan dalam kalangan netizen.

Ada dalam kalangan netizen memberikan nasihat supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan sekolah tanpa mengeluh.

“Peraturan sekolah memang tidak pernah berubah. Salah jika tidak puas hati dengan peraturan sekolah. Belum ada lagi sekolah yang benarkan pelajar untuk bersolek kecuali pihak pentadbiran memberikan kebenaran sedemikian,” katanya.

Dia juga menyatakan pelajar masa kini sepatutnya berasa untung kerana mengikut pengalamannya semasa zaman persekolahan dahulu, hanya perlu memakai baju sekolah ketika jamuan raya.

Menerusi ruangan komen, netizen juga meminta agar para pelajar memberi fokus terhadap jamuan dan juadah, bukannya penampilan diri.

Related post

Leave a Reply