Siti Nordiana Tepis Dakwaan Sudah Berkahwin Semula

Penyanyi, Siti Nordiana, 41, mengakui terkejut membaca gosip yang tular baru-baru ini mendakwa dirinya sudah berkahwin semula.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan menegaskan statusnya masih ibu tunggal.

“Saya sangat terkejut apabila membaca gosip tersebut, saya sama sekali tidak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul. Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

“Pintu hati saya tidak pernah tertutup sekiranya Allah pertemukan jodoh dengan mana-mana lelaki kelak. Meskipun bertemu jodoh pada usia 50, saya terima.

“Apa pun saya berterima kasih kepada semua mendoakan dan ingin melihat saya hidup bahagia. Mungkin gosip itu timbul sebab sudah terlalu lama solo,” kongsi Nana dalam satu sidang media, baru-baru ini.

Mengakui bukan pertama kali disoal mengenai jodoh, pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran bagaimanapun tidak mengambil hati dengan usikan diberikan.

“Saya kerap kali ditanya fasal jodoh, ramai tanya bila mahu berkahwin. Tetapi saya tak anggap itu perkara yang sensitif.

“Fokus saya sekarang hanya pada anak dan dalam usia 40-an ini, saya sedang usaha untuk perbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

“Insya-Allah saya bahagia saja menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal sebab saya sudah terbiasa dengan rutin hidup begini. Bertahun-tahun bawa gelaran ibu tunggal,” kongsinya lagi.

Untuk info, Nana pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Allahyarham Faizal Yusof pada April 2006, namun mereka berpisah pada 2009.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie yang kini berusia 17 tahun.

Related post

Leave a Reply