Raya Berbeza, Puteri Balqis Santuni Gelandangan
SEDIKIT berbeza dengan yang lain, pelakon, Puteri Balqis, 17, menyambut Aidilfitri dengan golongan gelandangan yang berada di sekitar ibu negara.
Mengakui seronok mendekati insan kurang bernasib baik, Balqis berkata, rutin tersebut sudah dilakukan bersama ibunya, sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, apabila mendekati golongan itu, dapat membuka matanya supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat diberikan Ilahi.
“Saya dan ibu akan beraya dengan golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Sambutan raya kami bukan seperti orang lain, kami lebih kepada pengalaman sebegitu.
“Kami akan berbual sebab mereka seperti tiada tempat untuk bercerita. Banyak cerita yang saya dapat seperti kena buang keluarga, sudah kahwin tetapi berakhir di situ.
“Kadang-kadang bila saya bercakap dengan mereka, seperti tidak percaya kerana tidak menyangka kehidupan mereka sebelum ini iaitu seorang anak, suami dan isteri tetapi jadi begitu,” katanya.
Tambah pelakon drama ‘Keluarga Itu’ lagi, dia tidak mampu menggambarkan perasaan ketika berjumpa golongan gelandangan.
“Setiap kali dengar cerita mereka, ada sesuatu yang kita sendiri tak boleh nak jelaskan perasaan itu.
“Saya tiada waktu yang spesifik melawat mereka. Adakalanya saya bangun tidur, tonton Netflix, makan dan pergi ke sana,” tuturnya seperti dilaporkan Kosmo.
Dalam pada itu, Balqis memberitahu tiada rutin khusus yang dilakukan sepanjang Syawal, baginya hari raya adalah sama seperti hari biasa.
“Hari raya saya sama sahaja seperti hari-hari biasa. Tiada yang istimewa pun, saya tak cemburu pun lihat orang lain beraya.
“Saya sambut seadanya dengan ibu, kami sambut cari kami,” tambahnya.