“Perkahwinan Bukan Jalan Keluar Daripada Kesepian”

“Perkahwinan Bukan Jalan Keluar Daripada Kesepian”

Pelakon dan pengarah, Farid Kamil, 44, terbuka berkongsi pengalaman hidupnya selepas bergelar duda dan mengakui perkara itu tidak mudah.

Menurut Farid, mencari pengganti bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan tergesa-gesa kerana dia mengenali bekas isterinya, Diana Danielle sejak 19 tahun lalu.

“Ketika bercinta dan berkahwin dahulu, seluruh jiwa raga saya dicurahkan untuk Diana. Itu membuatkan saya kini lebih berhati-hati supaya tidak mengulangi perkara sama.

“Namun, pintu hati saya tidak pernah tertutup. Kalau ada jodoh, saya terima,” katanya.

Berkongsi mengenai kehidupannya kini, Farid menegaskan fokus utamanya adalah membesarkan dua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora.

“Alhamdulillah, saya tenang dengan kehidupan sekarang. Walaupun bersendirian, saya tidak pernah rasa sunyi kerana matlamat saya jelas, kelangsungan hidup anak-anak.

“Saya perlu terus berusaha menambah pendapatan untuk masa depan mereka,” jelasnya lagi.

Farid turut aktif membabitkan anak-anaknya dalam bidang sukan. Aurora kini bermain bersama KL Rangers, manakala Muhammad mengikuti latihan bola sepak hampir setiap hari.

“Pendidikan tetap keutamaan, tetapi saya galakkan mereka bersukan kerana ia membina disiplin dan falsafah hidup. Dunia sudah berubah, peluang yang ada jangan dilepaskan,” ungkapnya.

Mengulas mengenai peluang untuk kembali berumah tangga, bintang filem Lagenda Budak Setan itu percaya setiap orang mempunyai perjalanan berbeza.

“Ada wanita cepat berkahwin semula selepas bercerai, ada lelaki pula lambat. Semuanya bergantung pada jiwa dan tujuan hidup seseorang.

“Bagi saya, perkahwinan bukan jalan keluar daripada kesepian. Ia menuntut pengorbanan yang besar,” tegasnya.

Related post

Leave a Reply