Global

MBC Dedah Bukti Palsu Dalam Kontroversi Kim Soo Hyun, Rakaman Suara Disahkan Dijana AI

Pogram televisyen MBC, Straight, mendedahkan perkembangan terkini mengenai dakwaan palsu yang mengaitkan pelakon Kim Soo Hyun dengan mendiang pelakon Kim Sae Ron.

Menurut laporan program tersebut, YouTuber Kim Se Ui yang kini dipenjarakan didakwa mengetahui bahawa ‘bukti’ yang dikongsikannya sebelum ini adalah palsu.

Pihak polis dilaporkan mengesahkan rakaman suara yang didakwa milik Kim Sae Ron sebenarnya dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), manakala mesej perbualan yang tersebar turut dimanipulasi supaya kelihatan seolah-olah ia merupakan komunikasi antara Kim Sae Ron dan Kim Soo Hyun.

Program itu turut mendedahkan individu yang menghasilkan rakaman suara AI palsu tersebut cuba mengugut agensi Kim Soo Hyun.

Menurut laporan, individu berkenaan meminta sejumlah wang serta peluang mendapatkan kontrak iklan sebagai balasan untuk menyerahkan fail-fail berkenaan.

Malah, individu yang sama turut didakwa menghubungi beberapa saluran YouTube lain dan menawarkan versi berbeza rakaman suara palsu tersebut dengan bayaran tertentu.

Akibat penyebaran dakwaan itu, Kim Soo Hyun dilaporkan kehilangan hampir 20 kontrak pengiklanan serta beberapa tawaran lakonan.

Peguam yang mewakili pelakon itu berkata, jumlah kerugian kewangan yang dialami Kim Soo Hyun dan syarikatnya dianggarkan mencecah sekitar 30 bilion won (RM80.3 juta).

Sebelum ini, Kim Se Ui didakwa menyebarkan tuduhan yang Kim Soo Hyun menjalinkan hubungan dengan Kim Sae Ron ketika mendiang masih di bawah umur serta menekannya berhubung isu hutang sehingga menyebabkan kematiannya.

Bagaimanapun, menurut laporan terkini, dakwaan tersebut didakwa berasaskan bukti yang telah dipalsukan dan dimanipulasi.

Kim Se Ui telah ditahan pada penghujung bulan lalu atas dakwaan menyebarkan maklumat palsu serta memalsukan bukti. Mahkamah juga dilaporkan baru-baru ini menolak permohonannya untuk dibebaskan.

Related Articles

Back to top button