Linda Rafar Tinggalkan Elite
Penyanyi, Linda Rafar, 47, mengejutkan ramai apabila mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada kumpulan Elite tanpa menjelaskan punca sebenar di sebalik tindakan tersebut.
Pemilik nama sebenar Azlinda Abd Rafar, mengakui keputusan itu dibuat dengan penuh emosi dan bukannya mudah untuk diterima.
“Hanya kepada Allah aku berserah. Maafkan Linda jika tak dapat bersama Elite lagi. Sedih sangat, nak tulis pun tak boleh. Moga Allah kuatkan Linda dalam apa juga keadaan,” tulisnya dalam satu hantaran di Threads.
Pengumuman itu menimbulkan tanda tanya ramai pihak, apatah lagi hanya sebulan sebelum ini Linda dan empat anggota Elite lain iaitu Abby Abadi, Azza Zawari, Sasha Saidin dan Watie Sadali tampil bersama menjayakan konsert Elite Live 25 di Plenary Hall, KLCC, 20 September lalu.
Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, keputusan drastik itu dipercayai berpunca daripada tekanan emosi susulan kecaman netizen terhadap busana yang digayakannya ketika konsert tersebut.
Kecaman berterusan itu dikatakan memberi kesan besar terhadap kesihatan mentalnya hingga menyebabkan Linda berdepan gangguan keresahan (anxiety) serta hilang selera makan.
Menerusi ruangan komen, ramai pengikut dan rakan artis tampil memberikan kata-kata semangat dan mendoakan Linda dalam keadaan baik.
Elite merupakan kumpulan wanita popular yang ditubuhkan pada tahun 1995 di bawah label KRU Records dan pernah mencipta fenomena besar menerusi lagu-lagu hit mereka sepanjang era 1990-an.
