Lelaki Hina Islam Dedah Kini Jadi Warganegara Amerika Syarikat
ALVIN Tan, individu yang pernah mencetuskan kontroversi beberapa ketika dahulu menerusi perkongsian menghina agama Islam mendakwa yang dia kini telah pun diterima menjadi warganegara Amerika Syarikat (AS) selepas mendapat suaka politik di sana.
Menerusi perkongsian Alvin menerusi satu hantaran Facebook, lelaki itu menjelaskan, kelulusan berkenaan diterima selepas beberapa bulan berada dalam tahanan imigresen di AS.
Alvin berkata, dia memasuki AS dengan menyerah diri di sempadan Mexico-AS selepas pasport antarabangsa miliknya telah dibatalkan oleh kerajaan Malaysia.
“Mulanya saya melarikan diri ke Singapura, kemudian ke United Kingdom dan seterusnya ke Mexico.
“Dari Mexico, saya berjalan ke arah pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS dengan menyatakan bahawa saya tidak mempunyai pasport serta visa,” katanya.
Alvin digari sebelum diserahkan kepada penguat kuasa imigresen dan Kastam AS (ICE) serta diberi peluang membela diri dalam permohonan suakanya.
Katanya, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menggambarkannya sebagai seorang provokator yang sengaja menyinggung Islam, tetapi hakim yang mengendalikan kesnya tidak bersetuju.
Hakim terbabit memihak kepada Alvin dan membuka pintu baharu kepadanya untuk mendapatkan kad hijau dan kini dia menerima kewarganegaraan AS selepas satu dekad hidup dalam ketidakpastian.
Alvin memberitahu yang dia tidak menyesali dengan keputusannya, walaupun tidak dapat kembali ke Malaysia.
Untuk rekod, pada 2013, Alvin dan bekas teman wanitanya, Vivian Lee May Ling, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyiarkan gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh… wangi, enak dan menyelerakan)’ yang mengandungi logo halal di Facebook miliknya.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 pagi, 12 Julai 2013, mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Bukan itu sahaja, mereka turut didakwa menyiarkan gambar pornografi di laman Facebook sama mengikut Subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 antara jam 9 malam, 6 Julai 2013, dan 2 pagi, 7 Julai 2013.
Namun, Alvin melarikan diri ke Singapura selepas mahkamah membenarkan pelepasan sementara pasportnya atas alasan mahu menjalani penggambaran di negara itu.