Concert

Last Child, Tipe-X Nama Baharu Sertai  Latihan Pestapora Malaysia 2026

Kurang sebulan menjelang penganjurannya pada 15 Ogos depan, penganjur Latihan Pestapora Malaysia 2026 mengumumkan kemunculan Tipe-X dan Last Child, Ruffedge, Lah Ahmad dan DJ Disko Santan & Friends bakal beraksi kali ini.

Pengumuman itu sekali gus melengkapkan senarai artis yang bakal menghiburkan peminat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dalam festival anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator.

Antara yang paling dinantikan ialah penampilan sulung Last Child di Malaysia, manakala Tipe-X dijangka menghangatkan pentas dengan persembahan ska bertenaga yang menjadi identiti kumpulan itu sejak lebih dua dekad lalu.

Ruffedge dan Lah Ahmad pula bakal mengubat kerinduan peminat muzik R&B tempatan menerusi rangkaian lagu hit yang pernah mewarnai industri muzik tanah air, sementara DJ Disko Santan & Friends dijangka menyemarakkan suasana festival dengan seleksi muzik sepanjang acara berlangsung.

Dengan pengumuman barisan fasa kedua itu, Latihan Pestapora Malaysia 2026 kini menghimpunkan lebih 15 artis dari Malaysia dan Indonesia dalam festival yang meraikan kepelbagaian muzik, budaya serta semangat serumpun.

Antara yang terlebih dahulu mengesahkan tempat terdiri daripada Tulus, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama & Soneta, Nadhif Basalamah, Aisha Retno, Aziz Harun, Gerhana Skacinta, Insomniacks, Masdo dan FUGO.

TIPE-X

Selain persembahan muzik selama 12 jam tanpa henti, pengunjung turut disajikan pelbagai aktiviti menarik yang menjadikan festival itu lebih daripada sekadar konsert dan acara hiburan.

Bagi meningkatkan keselesaan pengunjung, setiap pemegang tiket akan menerima sebotol air mineral percuma ketika memasuki festival, selain disediakan stesen isian semula air secara percuma. Pelbagai vendor makanan dan minuman turut disediakan sepanjang acara berlangsung.

Seiring pengumuman barisan artis baharu, jualan tiket kini memasuki kategori General Admission (GA) Phase 2 pada harga RM249.

Penganjur turut menawarkan promosi Bundle Pesta apabila pembelian empat tiket GA pada harga Fasa 1 akan menerima satu tiket GA percuma, sekali gus memberi penjimatan kepada pembelian secara berkumpulan.

Kategori tiket tempat duduk masih ditawarkan, namun bilangannya semakin terhad dan orang ramai disaran mendapatkannya lebih awal sebelum habis dijual. 

Layari laman sosial Latihan Pestapora Malaysia untuk maklumat lanjut.

Related Articles

Back to top button