Music

“Kekalkan Roh Lagu Lama Supaya Lagu Raya Kekal Malar Segar”

Penyanyi, Noraniza Idris, 57, berpendapat lagu raya tidak seharusnya terlalu mengejar kreativiti atau trend semasa sehingga menghilangkan roh sebenar sambutan Aidilfitri.

Menurut pemilik nama sebenar Nor Aniza Idris, penghasilan lagu raya wajar mengekalkan emosi serta nuansa tradisional agar karya tersebut mampu kekal malar segar dan dekat dengan jiwa pendengar.

Katanya, antara lagu raya baharu yang menarik perhatiannya tahun ini ialah lagu nyanyian Shiha Zikir yang disifatkan memiliki elemen kemelayuan yang kuat.

“Lagu raya baharu tahun ini, paling saya suka dengar lagu Shiha Zikir. Rasa Melayunya kuat. Lenggoknya ringkas tetapi alunannya terasa cukup sempurna.

“Lagu raya tidak perlu terlalu kreatif atau terlalu bersaing dengan trend semasa. Lagu raya ada jiwa tersendiri. Suasana serta rasa lagu raya tidak sama seperti mencipta lagu etnik atau irama Malaysia lain.

“Kekalkan sahaja roh lagu lama supaya kekal malar segar kerana lagu raya melambangkan jiwa Melayu lembut serta sayu meninggalkan Ramadan menuju kemenangan Syawal,” katanya dalam sebuah hantaran.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet apabila segelintir peminat artis lain dilihat kurang bersetuju dengan pandangannya.

Tidak berdiam diri, Noraniza tampil mempertahankan kenyataannya selain menjelaskan bahawa perkongsian tersebut hanyalah pandangan peribadi berdasarkan cita rasanya terhadap muzik.

“Saya memang suka lagu baharu Shiha Zikir itu. Ada pula kata saya suka pusing cerita. Masalahnya saya suka apa saya dengar, itu hak saya. Kenapa pula orang hendak marah?

“Saya bukan taasub kepada sesiapa. Saya dengar sahaja lagu lalu di telinga, kalau sedap saya suka. Salahkah?

“Tapi ada saya kisah? Saya memang suka lagu itu. Lagu raya atau bukan lagu raya, kalau sedap dan kena dengan suasana Ramadan, saya dengar sahaja,” tulisnya lagi.

Sejak awal Ramadan, puluhan selebriti termasuk pempengaruh tampil menghasilkan lagu raya baharu bagi memeriahkan suasana menjelang Aidilfitri.

Namun dalam keghairahan tersebut, sebahagian pencinta muzik berpendapat lambakan karya baharu sukar menandingi keindahan lagu raya klasik yang dianggap lebih menyentuh emosi.

Related Articles

Back to top button