J.Y. Park Lepas Jawatan Pengarah Dalaman Di JYP Entertainment

Penyanyi dan penerbit terkenal J.Y Park mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengarah dalaman di syarikat hiburan JYP Entertainment hari ini.
JYP Entertainment memaklumkan yang J.Y. Park tidak akan memohon pelantikan semula sebagai pengarah dalaman pada mesyuarat pemegang saham syarikat yang dijadualkan berlangsung pada 26 Mac depan.
Selepas keputusan tersebut, dia akan kekal sebagai pengasas JYP Entertainment serta terus berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kreatif (Chief Creative Officer, CCO) syarikat itu.
Menurut syarikat berkenaan, J.Y. Park merancang untuk menumpukan lebih banyak masa kepada kerja kreatif sebagai artis, membimbing bakat muda serta terlibat dalam pelbagai inisiatif berkaitan perkembangan industri K-pop di peringkat global.
J.Y. Park memulakan kerjaya muzik pada tahun 1994 menerusi lagu Don’t Leave Me, Don’t Leave Me. Sepanjang kerjayanya, dia menghasilkan banyak lagu popular termasuk Honey, She Was Pretty, Proposal Song dan Behind You.
Selain aktif sebagai penyanyi, dia juga dikenali sebagai penulis lagu dan penerbit. Pada tahun 1997, J.Y Park menubuhkan JYP Entertainment yang kemudian melahirkan ramai penyanyi serta kumpulan idola terkenal dan berkembang menjadi antara syarikat utama dalam industri K-Pop.
Dia telah berkhidmat sebagai pengarah dalaman berdaftar di syarikat itu sejak 2011.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia turut memegang peranan awam berkaitan pembangunan industri K-Pop secara lebih meluas. Pada September tahun lalu, dia dilantik sebagai pengerusi bersama Jawatankuasa Pertukaran Budaya Popular, sebuah badan penasihat presiden di South Korea.
Jawatankuasa tersebut bertujuan merangka visi nasional bagi dasar budaya popular serta memperkukuh daya saing industri budaya melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta.
Sesetengah pemerhati berpendapat peletakan jawatan itu sebagai pengarah dalaman mungkin bertujuan memberi lebih masa kepada inisiatif budaya berskala lebih besar serta peranannya dalam jawatankuasa tersebut.
Sumber: Allkpop



