Isteri Pak Cik Petai Bakal Jalani Pembedahan Mata Percuma
SEKITAR minggu lalu, viral di media sosial apabila video seorang lelaki warga emas yang membuang petai jualannya di atas jalan raya gara-gara kecewa kerana tidak dibenarkan berniaga di satu kawasan di Port Dickson.
Menerusi laporan media, warga emas itu dikatakan berbuat demikian kerana penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson mahu mengambil tindakan ke atasnya.
Warga emas yang turut dikenali sebagai Pak Cik Petai itu menjadi bualan ramai kerana dia memberitahu yang dia sedang mengumpul duit untuk menampung perbelanjaan pembedahan mata isterinya.
Selepas pelbagai pendapat dilontarkan oleh orang ramai, peniaga yang dikenali sebagai Mohd Noor Saad itu kini menarik nafas lega selepas isterinya, Astiah Yaakob dijadualkan bakal menjalani pembedahan mata di sebuah hospital swasta secara percuma pada bulan depan.
“Kami ini orang susah, saya kerja kampung saja pada usia sebegini serta menghidap penyakit darah tinggi. Untuk mencari sesuap nasi, masih stabil. Saya mendapat bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”
“Sudah lama saya tunggu detik ini sebab sebelum ini kumpul duit tetapi tidak kesampaian. Hari ini, ada pihak mahu membantu… saya bersyukur sangat,” katanya.
Berikutan itu, lelaki ini menganggap insiden yang membabitkan dirinya dengan anggota Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ketika menjaja petai yang tular itu sebagai satu hikmah buat dirinya.
Oleh itu, Mohd Noor berterima kasih kepada pihak media dan beberapa hospital swasta yang sudi membantu isterinya menjalani pembedahan mata secara percuma.
Sumber: Lobak Merah