Baru Berusia 14 Tahun, Ara Mahu Sambung Pelajaran Ke Luar Negara
“Kalau semuanya berjalan lancar, saya akan masuk universiti dan sambung pelajaran dalam bidang psikologi,” ungkap Ara Aziz, 14, baru-baru ini.
Pastinya pengakuan yang dibuat oleh anak kepada pengarah Aziz M Osman mengejutkan ramai pihak sementelah usianya yang masih muda.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Ara yang juga merupakan penyanyi remaja baharu tanah air sedang merancang untuk menyambung pengajian secara fast track pada tahun hadapan.
Ketika ini, gadis tersebut sedang mempersiapkan diri untuk menduduki ujian International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi membolehkannya melangkah ke menara gading lebih awal.
“Saya memang akan menggunakan laluan fast track dan alan ‘melompat’ beberapa tahun. Saya akan menduduki IGCSE tidak lama lagi, ia setaraf dengan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya bercerita.
Tambah Ara atau nama sebenarnya Putri Nur Az-Zahra ini lagi, dia bercita-cita untuk menyambung pelajaran di luar negara seperti mana yang diimpikan sejak dahulu.
Dek kerana usianya yang masih muda, Ara bercadang untuk melanjutkan sebahagian pengajian dia Malaysia dan akan menyambung ke luar negara apabila cukup umur nanti.

Mengulas mengenai bidang psikologi pula, dia begitu tertarik dengan ilmu psikologi dan hal yang berkaitan dengan otak.
“Saya pilih psikologi kerana ia sangat menarik. Otak manusia sangat kompleks dan bekerja dengan misteri.
“Saya mahu habis sekolah awal, jadi hendak fokus kepada pengajian dahulu, kemudiannya barulah kerja seni,” katanya yang baru sahaja melancarkan lagu Raya Gen Z baru-baru ini.
Selain Ara, lagu itu juga turut menggabungkan pelakon cilik, Alyssa Dezek; anak usahawan kontroversi Datuk Seri Vida, Cik B dan Qadejah yang juga merupakan anak kepada usahawan Datuk Alif Syukri.