Gempak! Nidji, Bunkface Gegar KL Disember Hadapan

Gempak! Nidji, Bunkface Gegar KL Disember Hadapan

Gempak, itu gambaran sebahagian besar peminat apabila penganjur, Shiraz Projects mengumumkan akan kembali dengan edisi Nusa Fest tahun ini.  Berbanding penganjuran pada tahun 2023 dengan puluhan penghibur, penganjuran kali ini meletakkan tanggungjawab kepada hanya dua band sahaja. 

Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface. Nidji mewakili Indonesia akan terus menebarkan ‘Cinta’ dan ‘Sumpah Matiku’ sementara Bunkface sebagai kugiran andalan Malaysia tentu menjadikan kolaborasi julung kali ini ‘Malam Ini Kita Punya’ di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 21 Disember 2025. 

Hanya dua kugiran iaitu Nidji dan Bunkface, namun percayalah penganjuran kali ini akan mencipta  momen epik yang tidak akan dilupakan sebelum 2026 bertandang. 

Menurut Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, mereka memilih kedua-dua kumpulan ini memandangkan permintaan yang tinggi daripada peminat.

“Energi yang dibawa Nidji sentiasa ‘besar’, membuat penganjur seperti Shiraz Projects teruja  untuk melamar kugiran yang luar biasa ini membuat kolaborasi bersama Bunkface. 

“Selaku pemain industri, siapa yang boleh menidakkan kredibiliti Bunkface. Dengan karya  berkualiti dan penampilan penuh energetik, Bunkface adalah kugiran Malaysia yang sudah  membuktikan reputasi dalam banyak penganjuran sebelum ini. 

“Jadi Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface akan menampilkan bukan sekadar persembahan tetapi momen epik yang tidak boleh diabaikan. 

“Konsert ini juga akan melakar sejarah, menjadi saksi dua kugiran dengan kelompok peminat silang budaya boleh menghormati dan menikmati muzik di bawah  satu bumbung dengan harmoni,” ujar Shirazdeen. 

Bunkface bakal menghiburkan peminat Disember hadapan bersama Nidji.

Bagi Sam, projek Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface yang bakal berlangsung di Megastar  Kuala Lumpur pada 21 Disember 2025 membuktikan sinergi pemuzik Malaysia-Indonesia  sentiasa mengalir dengan baik. 

“Setelah mempertimbangkan dan memaklumi hakikat bahawa Nusa Fest Presents – Nidji x  Bunkface bukan sekadar sebuah persembahan pentas yang biasa, maka Bunkface bersetuju  untuk terlibat dalam projek ini. 

“Penglibatan kali ini bukan sekadar tapak konsert, bukan sekadar naik  pentas buat persembahan tetapi akan menjadi momen paling berharga buat peminat kami,” ujar Sam. 

Nidji pula menyifatkan perkongsian pentas bersama Bunkface sebagai sebuah penghormatan  besar buat mereka. 

“Memang Nidji dan Bunkface pernah bermain dalam festival yang sama  namun sepanggung hanya kami berdua adalah sebuah penghormatan buat kami. 

“Selamat bersenang-senang bersama kami nanti kerana  hanya yang terbaik akan kami persembahkan buat dinikmati di Megastar Arena pada 21  Disember kelak,” ujar vokalis Nidji, Ubay. 

Dengan Nidji dan Bunkface yang sudah bersemangat bertemu peminat, maka adalah satu kerugian jika tidak memiliki tiket Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface. 

Tiket dengan harga dan kategori Rockzone (Standing) RM228, Diamond (Seated) RM198,  Platinum (Seated) RM168 boleh dibeli melalui www.ticket2u.com.my.

Related post

Leave a Reply