
Bagi memenuhi kehendak dan selera peminat muzik metal dan punk serantau, festival muzik Metalverse bakal berlangsung selama dua hari pada 30 April hingga 1 Mei hadapan.
Bakal diadakan di Megastar Arena Kuala Lumpur, festival yang dianjurkan oleh Vox Nation Live, diadakan sebagai platform eksklusif untuk meraikan budaya metal dan punk yang bukan sekadar sebagai genre muzik, tetapi sebagai satu komuniti yang dibina atas semangat kejujuran, tenaga dan kebersamaan peminatnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang, Metalverse tercetus daripada satu kekosongan yang jelas dalam landskap muzik live serantau.
“Walaupun Malaysia mempunyai komuniti metal dan punk yang sangat bersemangat serta berpengetahuan, festival berskala besar yang benar-benar memberi fokus kepada genre ini masih jarang.
“Metal dan punk bukan sekadar muzik, ia adalah budaya. Metalverse diwujudkan untuk memberi platform dan penghormatan yang sewajarnya kepada komuniti ini, sambil menghubungkan peminat tempatan dengan ekosistem metal dan punk global,” jelasnya.
Dengan enam artis antarabangsa telah pun disahkan, Metalverse menjanjikan barisan artis yang dirangka dengan teliti berdasarkan tiga prinsip utama: relevan, impak persembahan dan permintaan peminat.
“Kami memilih band yang benar-benar berpengaruh dalam arena metalcore, post-hardcore dan punk moden hari ini, bukan sekadar popular di platform penstriman, tetapi terkenal dengan persembahan live yang luar biasa.
“Kami juga mengambil kira permintaan peminat Malaysia yang jarang mendapat peluang menonton band-band ini secara langsung di sini,” katanya.
Antara nama besar yang bakal menggegarkan pentas Metalverse termasuk Of Mice & Men dan Blessthefall, yang mewakili pelbagai cabang muzik berat moden serta dikenali dengan hubungan emosi yang kuat bersama peminat mereka.
Direka sebagai sebuah acara yang bakal memberikan pengalaman menyeluruh untuk peminat muzik berat, beberapa aspek penting sangat dititik beratkan bagi memberi kepuasan kepada peminat.

Daripada produksi pentas profesional, pencahayaan, susunan jadual yang kemas hingga susun atur dilakukan untuk lebih mesra pengunjung.
Menariknya, barisan artis tempatan akan diumumkan lebih hampir dengan tarikh festival, satu strategi yang disengajakan.
“Scene muzik berat tempatan sedang berkembang dan kami mahu memberi perhatian yang lebih bermakna kepada artis tempatan.
“Pengumuman lebih dekat dengan acara membantu membina momentum dan memastikan mereka disorot sebagai sebahagian penting naratif Metalverse, bukan sekadar pelengkap,” katanya lagi.
Selain dua kumpulan indie jemputan khas yang bakal beraksi, Midnight Fusic dan juga Spooky Wet Dreams, Metalverse menampilkan pendekatan yang berbeza berbanding festival rock atau metal lain di rantau ini.
Bagi Vox Nation Live, Metalverse juga membawa misi yang lebih besar iaitu membuka akses terus kepada peminat tempatan.
“Peminat Malaysia sangat bersemangat dan berpengetahuan, namun sering terpaksa ke luar negara untuk menonton band kegemaran mereka. Metalverse adalah usaha untuk mengubah realiti itu, membuktikan bahawa Malaysia adalah pasaran yang kuat dan relevan untuk muzik berat,” tambah Shawn lagi
Mengenai pemilihan Megastar Arena KL sebagai lokasi utama, perkara itu dibuat berdasarkan keseimbangan dari segi kapasiti, kualiti bunyi dan kemudahan akses.
“Lokasi ini membolehkan kami mencipta pengalaman yang intim tetapi berkuasa, cukup dekat untuk peminat merasai setiap riff dan breakdown, namun cukup besar untuk menampung produksi bertaraf antarabangsa.
“Kedudukannya yang strategik juga memudahkan kehadiran peminat dari seluruh daerah Lembah Klang serta di luar kawasan,” tambah En. Shawn.
Bagi peminat yang ingin turut serta, tiket untuk menyaksikan Metalverse boleh didapati menerusi www.ticketmelon.com.



