Edika Yusof Dibenarkan Lafaz Cerai 5 Mei Depan
Pelakon, Edika Yusof, 58, dibenarkan untuk melafazkan cerai kepada isteri, Nor Hidayah Yusri pada 5 Mei depan.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie yang mewakili Hidayah, Mohd Yazid Hazim sejurus prosiding perceraian membabitkan pasangan tersebut yang berlangsung di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu.
“Hari ini (Rabu) adalah kes permohonan cerai yang mana mahkamah sudah membenarkan Edika melafazkan cerai pada Hidayah tetapi disebabkan Hidayah tidak suci (datang haid), jadi mahkamah menangguhkan kepada 5 Mei depan. Pada tarikh itu, Edika perlu hadir ke mahkamah untuk melafazkan cerai,” katanya.
Dalam pada itu, Yazid memaklumkan bahawa Hidayah ada mengemukakan 10 dakwaan dalam permohonan perceraian yang difailkan terhadap suami.
Bagaimanapun, butiran dakwaan tersebut tidak dapat didedahkan bagi menjaga aib anak guamnya.
“Pihak Hidayah sudah bentangkan fakta kes untuk mahkamah teliti permohonan cerai sama ada wajar atau tidak Hidayah mahu bercerai. Selepas ini mahkamah akan panggil anak sulungnya untuk bagi keterangan.
“Sepatutnya sudah diselesaikan, tapi disebabkan Hidayah bermurah hati menjaga maruah keluarga, sampai sekarang baru dia ada ketabahan untuk memohon. Ini pun kerana sudah tidak tahan lagi.
“Semua dakwaan dibuat disaksikan anak. Jadi, ketidaksefahaman adalah hanya ‘surface’ sahaja, ada sembilan dakwaan kritikal lagi,” kongsi Yazid.
Pada Mac lalu, Hidayah memfailkan perceraian terhadap Edika di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2003 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, manakala Hidayah memiliki seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.