Dua Filem Disekat, Fahmi Janji Industri Seni Lebih Mapan
MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mendedahkan, dua buah filem sudah disekat daripada ditayangkan setelah gagal melunaskan gaji kru yang terlibat baru-baru ini.
“Kita dapati sekurang-kurangnya dua filem didapati gagal membayar kru produksi mereka meskipun pihak penerbit menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK).
“Saya tidak akan menyebut nama filem-filem itu, tetapi mereka (penerbit) pasti tahu siapa mereka. Walaupun dana sudah disalurkan, pekerja yang terbabit dalam produksi masih belum menerima bayaran gaji mereka,” katanya.
Jelasnya, pihak penerbit sudah dimaklumkan agar melunaskan bayaran gaji tertunggak sebelum filem mereka dibenarkan semula untuk proses tayangan.
“Selepas tayangan filem ini disekat, pihak penerbit sudah dimaklumkan bahawa mereka perlu melunaskan semua tunggakan bayaran sebelum dibenarkan untuk memohon semula, terutamanya dalam skim Wajib Tayang,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui sempena sambutan Hari Seniman 2025 yang berlangsung di Ampang, Selangor.
Dalam majlis yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk
Mohamad Fauzi Md Isa Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib selain wakil persatuan industri.
Fahmi turut menyerahkan sumbangan wang tunai kepada 20 penggiat industri sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri sementelah 50 orang artis
veteran telah menerima sumbangan semasa Majlis Raya Sama-Sama pada 17 Mac lalu.
Selain itu, FINAS terus memperkukuh hubungan antara industri dengan pihak institusi pengajian tinggi dengan menyerahkan surat niat (LOI) kepada tujuh institusi pengajian bagi merintis kerjasama strategik dalam membangunkan ekosistem industri perfileman, televisyen dan kandungan kreatif yang mampan.
Institusi pengajian yang terlibat dalam kolaborasi ini terdiri daripada AkademiSeniBudaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA); Universiti Utara Malaysia(UUM); Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Management and Science University(MSU).
Turut menerima LOI termasuklah Multimedia University (MMU); Politeknik METRO Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan Meatech Creative Academy.
Fahmi turut mengumumkan pembukaan Dana Kandungan Kreatif (DKK) 2025 dengan menawarkan lima kategori untuk warga industri.