Didakwa Belasah Kekasih, Ammar Alfian Ambil Tindakan Undang-Undang
Pelakon, Ammar Alfian, 38, menyangkal tuduhan kekasihnya, Qhaisha yang mendakwa telah dipukul oleh aktor tersebut.
Pemilik nama lengkap Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri turut meluahkan rasa kecewa apabila wanita itu mengheret seseorang yang tidak bersalah dalam hal membabitkan mereka berdua.
“Disebabkan saya berbadan besar dan muka garang, awak guna karakter saya ini untuk perangkap saya. Tahun lepas awak buat perkara sama (laporan polis), tapi saya diamkan diri dan tahun ini awak serang saya lagi.
“Kali ini awak telah libatkan orang tak bersalah iaitu Zane Gan (didakwa pihak ketiga) yang langsung tiada kena-mengena dalam hal ini,” kongsinya menerusi hantaran di Instagram.
Susulan itu, Ammar berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang demi menjaga namanya dan tidak mahu orang ramai melulu mempercayai dakwaan tersebut.
“Saya memandang isu ini dengan sangat serius. Saya akan ikut undang-undang. Masing-masing ada pendapat, tidak salah sehingga jelas terbukti bersalah.
“Saya harap jangan percaya bulat-bulat dan minta jangan dengar dari sebelah pihak sahaja, terima kasih,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar mengesahkan menerima laporan seorang aktor bertubuh sasa didakwa membelasah seorang wanita sehingga cedera di sebuah kondominium di Damansara.
Difahamkan, laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), semalam.
Sementara itu, kekasih Ammar iaitu Qhaisha juga memuat naik pendedahan menjadi mangsa pukul selain mendakwa pernah dicekik aktor itu sewaktu menjadi kekasihnya.