Lagu Baharu

Buang Kisah Duka, Eda Ezrin Bangkit Pertaruh Karya Baharu Bersama Den Manjo

Bagai membuka lembaran baharu, itu juga gambaran sebahagian besar peminat terhadap penyanyi Eda Ezrin tatkala dia melancarkan lagu baharu berjudul Adek Saye Abe Sore baru-baru ini.

Eda yang pernah ‘panas’ akibat ditahan pihak berkuasa Thailand sebelum ini bagaimanapun tidak keseorangan sebaliknya bergandingan bersama Den Manjo sementelah kedua-dua mereka mencipta fenomena dengan lagu Cinta Setandan Pisang dan Bae Soba Bae.

Kedua-dua lagu tersebut merupakan hasil ciptaan komposer Eddie Hamid sebetulnya memberi impak besar kepada kedua-dua penyanyi tersebut. Sehingga kini, lagu yang liriknya ditulis oleh Fadil Turbo dan Mama Ana berjaya mencapai tontonan melebihi 33 juta di saluran YouTube.

Tahun ini, Eddie kembali mencipta lagu untuk pasangan duet tersebut bersama komposer berbakat, Mekiya menerusi karya Adek Saye Abe Sore yang liriknya ditulis oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha yang bakal dilancarkan pada baru-baru ini.

Menurut Eddie, lagu ini merupakan kesinambungan daripada  lagu Cinta Setandan Pisang yang akhirnya sedia menemui peminat. 

Cuma kali ini, Eda Ezrin dan Den Manjo bakal menyanyikan lagu yang susunan muziknya dibuat lebih moden berbanding karya sebelum ini.

“Lagu ini dihasilkan dengan muzik yang lebih moden walaupun masih mengekalkan elemen dikir barat. Saya menjangkakan lagu ini juga akan mendapat sambutan baik sebagaimana Cinta Setandan Pisang.

“Sebenarnya, saya sudah buat lagu ini lebih setahun lalu, tapi terpaksa disimpan kerana kejadian yang berlaku terhadap Eda Ezrin. Malah ramai penyanyi lain yang meminta lagu ini, namun saya tetap menyimpannya untuk Eda Ezrin.

“Ini kerana genre dan vokal lagu ini sangat sesuai dibawakan oleh Eda Ezrin memandangkan ia adalah kesinambungan daripada karyanya yang terdahulu,” katanya.

Eda mengharapkan lagu baharunya ini mendapat sambutan baik daripada pendengar.

Bagi Eda Ezrin atau nama lengkapnya, Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 31, peluang yang diberi oleh Eddie untuk beliau kembali bergandingan dengan Den Manjo merupakan saat yang memang dinanti-nantikan.

“Alhamdulillah, syukur sangat kerana Abang Eddie masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menyanyikan lagu ciptaannya. 

“Untuk menyanyikan lagu ini, saya tak ada masalah kerana saya sudah pernah berkolaborasi dengan Den sebelum ini, masing-masing tahu tanggungjawab. 

“Tempoh rakaman pun tak mengambil masa lama sebab saya dan Den sudah hafal bahagian masing-masing. Sesungguhnya, saya gembira dan bersyukur kerana dapat kembali bekerjasama dengan orang yang sama,” katanya.

Meskipun sudah biasa bekerjasama dengan pasukan produksi yang sama, namun Eda akui hatinya berdebar menunggu maklum balas daripada pendengar.

“Bohonglah kalau kata saya tak berdebar sewaktu diberi lagu ini. Saya berdebar sebab tahu mesti orang akan bandingkan dengan lagu sebelum ini. 

“Apapun, saya tetap berdoa agar lagu ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai dan mampu berada di tangga teratas carta lagu,” katanya penuh harapan.

Selepas melalui episod hitam dalam hidupnya sebelum ini, Eda akui rezekinya dalam industri hiburan tetap berjalan lancar dan berharap dengan kehadiran lagu Adek Saye Abe Sore, ruang untuknya terus berkarya terbentang luas.

Bagi Den Manjo atau nama sebenarnya Mohamad Hafizzudin Md. Yusof, 30, peluang merakam lagu Adek Saye Abe Sore merupakan hadiah yang tak ternilai. 

“Selepas sambutan hangat yang diberikan terhadap lagu duet saya dengan Eda Ezrin, memang saya tak sabar untuk bekerjasama lagi dengan dia. 

“Walaupun terpaksa tunggu lama tapi saya tetap bersyukur kerana dapat kembali berpadu suara dengan Eda. Saya harap lagu ini juga mendapat sambutan hangat seperti mana lagu duet kami sebelum ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button