Suntik semangat hasilkan karya baharu

KUALA LUMPUR: Kemenangan tidak disangka menerusi kategori Lawak Viral Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 menyuntik semangat penerbit dan pengarah, Syahmi Sazli kembali berkarya di platform YouTube.

Syahmi bersama dua sahabatnya, Yeo Parey dan Asif Suhaimi pernah mencuri perhatian, malah boleh dikatakan mencetuskan fenomena apabila video gelagat mereka tular dalam media sosial sehingga menjadikan mereka sebagai selebriti dalam sekelip mata.

Malah, Asif pernah melakar kejayaan apabila menggenggam trofi Artis Komedi Popular, ABPBH 34 menewaskan nama besar seperti Jep Sepahtu, Shuib, Atu Zero dan Ain Edruce.

Mewakili Asif dan Yeo, Syahmi meluahkan perasaan terharu berjaya membawa pulang trofi Lawak Viral Popular pada acara berprestij itu.

Melihat pesaing seperti Ryan Bakery, Ariena Yahaya, Satthiya Kandi dan Aldariya Dareesa yang lebih popular dan viral, membuatkan Syahmi tidak yakin boleh menang.

Katanya, dia tidak meletakkan harapan memandangkan tidak lagi aktif berlakon.

“Jika melihat finalis lain, mereka sangat aktif, Kami sudah lama tidak menghasilkan drama pendek kerana sibuk dengan perniagaan. Yeo kini menjalankan perniagaan budu.”

Syahmi

“Sebelum hadir malam kemuncak ABPBH 35, saya sudah memasang niat mahu kembali aktif menghasilkan kandungan untuk YouTube.

“Hasrat ini timbul sejak beberapa minggu lalu. Bukanlah disebabkan kemenangan ini barulah saya ingin aktif semula.

“Tetapi, kemenangan ABPBH 35 membuatkan saya menjadi lebih bersemangat menghasilkan karya baharu. Saya tahu ramai ternanti penampilan kami,” katanya kepada BH Online.

Bagi meraikan kemenangan itu, Syahmi, Yeo dan Asif sempat menyantuni peminat di kedai air milik Syahmi yang terletak di Jalan Sultan Omar, Kota Bharu, Kelantan.

Selain memberi peluang kepada peminat bergambar bersama trofi dimenangi, mereka turut mengagihkan 1,000 pek barangan berisi gula, garam dan kicap kepada pengunjung yang datang.

Berkongsi punca tidak lagi aktif menghasilkan drama di YouTube, Syahmi menjelaskan, dia sibuk menjalankan perniagaan.

“Daripada bercadang berehat seketika, tidak sangka ia tertangguh agak lama.

“Awalnya, saya menceburi perniagaan dalam talian. Tetapi, apabila sudah berehat, hendak memulakan semula menghasilkan kandungan menjadi susah.

“Otak pula tidak produktif seperti dahulu.

“Kami akan memulakan penggambaran drama pendek atas permintaan peminat, tidak lama lagi,” katanya.

Mula menghasilkan drama pendek sejak tujuh tahun lalu, manakala bersama Asif dan Yeo sekitar empat tahun lalu, Syahmi berkata, dia juga tidak terlepas daripada menghadapi tohmahan netizen.

Usahawan berusia 28 tahun itu mendedahkan pernah dituduh mengambil kesempatan atas orang kurang upaya (OKU) seperti Asif dan Yeo semata-mata mencipta populariti.

“Selama bersama Asif dan Yeo, saya tidak pernah berasakan mereka sebagai bebanan.

“Bagi saya, hendak menguruskan mereka juga tidak susah kerana perkara paling sukar menghadapi fitnah netizen.

“Kadangkala timbul juga rasa sedih apabila ada yang menuduh saya mempergunakan Asif dan Yeo, tetapi tidak mengapa moga Allah membuat perhitungan terhadap semua ini,” kata pengarah filem Mael Totey The Movie itu.

Related post