Arked Di Shenzhen Dikecam Guna Hamster Hidup Sebagai Hadiah Claw Machine

Sebuah pusat arked di Shenzhen, China, baru-baru ini dikecam kerana didakwa melakukan kekejaman terhadap haiwan selepas hamster hidup didapati diletakkan sebagai hadiah dalam permainan mesin penyepit (claw machine).
Baru-baru ini, seorang pengguna di platform media sosial Xiaohongshu berkongsi gambar hamster tersebut, yang dilihat bersembunyi di sudut mesin yang dilabel ‘Fishing’.
Menurut pengguna tersebut, hamster berkenaan ditempatkan dalam persekitaran yang bising dan dijadikan hadiah untuk ditangkap oleh pelanggan, menyebabkan haiwan itu berada dalam keadaan tertekan.
Apabila pengguna tersebut cuba membuat laporan kepada talian perkhidmatan awam, dia dimaklumkan yang tindakan sukar diambil kerana Shenzhen tidak mempunyai undang-undang perlindungan haiwan yang khusus.
Seorang peguam memberitahu South China Morning Post, arked tersebut mungkin diwajibkan memiliki lesen untuk memelihara haiwan hidup, namun China ketika ini tidak mempunyai undang-undang kebajikan haiwan di peringkat nasional bagi melindungi haiwan kecil yang bukan liar daripada penderaan.
Hantaran di Xiaohongshu itu mencetuskan kemarahan ramai pengguna internet, dengan ramai yang bersetuju bahawa arked tersebut telah menganiaya haiwan berkenaan.
Satu video yang memaparkan seseorang bermain mesin penyepit yang dipercayai mesin sama turut dimuat naik di Xiaohongshu pada awal Februari dan menerima komen berkaitan kekejaman terhadap haiwan.

Kritikan semakin memuncak selepas didedahkan tiada sesiapa memberi makan kepada hamster tersebut ketika arked itu ditutup semasa cuti Tahun Baru Cina.
Susulan tekanan daripada orang ramai, arked tersebut dilaporkan telah mengeluarkan mesin penyepit yang menggunakan hamster berkenaan, namun ia digantikan dengan mesin yang menawarkan haiwan akuatik hidup seperti ikan dan kura-kura sebagai hadiah.
Menurut laporan HK01, tiada sijil atau dokumen dilihat di premis tersebut bagi membuktikan kedai itu mempunyai prosedur untuk mengurus haiwan hidup atau mencegah penyebaran penyakit.
Lebih 100 ekor ikan juga dilaporkan ditempatkan dalam sebuah tangki yang mempunyai penapis kotor.
Seorang kakitangan kemudian memberitahu South China Morning Post yang mesin tersebut juga telah dikeluarkan dan mendakwa bahawa haiwan hidup tidak lagi digunakan sebagai hadiah di premis berkenaan.
Bagaimanapun, arked di Shenzhen itu bukanlah yang pertama menawarkan haiwan hidup sebagai hadiah dalam mesin penyepit.
Di media sosial, orang ramai turut berkongsi video yang menunjukkan haiwan seperti hamster, ikan dan pelbagai haiwan lain diambil menggunakan mesin penyepit di beberapa bandar di seluruh China.



