TrendingViral

Shamsul Ghau Ghau Alami Pendarahan Beku Di Otak, Perlukan RM25,000 Untuk Pembedahan Segera

Pelakon, Shamsul Ghau Ghau, 57, kini dilaporkan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Serdang selepas disahkan mengalami pendarahan beku di bahagian otak kiri.

Perkembangan itu dikongsikan oleh rakan artis, aktres Sheila Mambo, yang memaklumkan perkara berkenaan selepas mendapat maklumat daripada isteri pelakon terbabit.

Menurut Sheila, ketiadaan Shamsul di lokasi penggambaran pada pagi Sabtu menimbulkan kebimbangan, sekali gus mendorongnya menghubungi isteri pelakon itu bagi mendapatkan penjelasan.

“Kami sepatutnya berlakon bersama, tetapi dia tidak hadir ke set pagi ini. Jadi saya hubungi isterinya untuk bertanya.

“Isterinya beritahu Shamsul masih tidur dan tidak memaklumkan mengenai jadual penggambaran. Dia juga kelihatan tidak sihat, lalu saya minta supaya dibawa ke hospital,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati Shamsul mengalami darah beku di bahagian otak kiri dan kini masih menerima rawatan di unit kecemasan dengan saranan menjalani pembedahan segera.

Sheila turut berkongsi bahawa dia mula menyedari perubahan pada keadaan Shamsul ketika mereka menjalani penggambaran drama Kedai Kopi Melekit.

“Pada hari pertama penggambaran, dia sangat baik. Namun semalam, dia lebih banyak baring dan kelihatan sukar untuk menyampaikan wataknya dengan baik. Apabila saya bertanya, dia hanya ketawa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sheila memaklumkan Shamsul turut memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos pembedahan dan rawatan susulan.

“Setakat ini dimaklumkan deposit pembedahan mencecah RM25,000. Namun pihak hospital sedang berusaha untuk memindahkannya ke Hospital Sungai Buloh. Mungkin kos rawatan di sana tidak terlalu tinggi,” jelasnya seperti dilapor Mstar.

Related Articles

Back to top button