
Seorang bekas pramugara dari Kanada didakwa menyamar sebagai juruterbang komersial dan anggota kru kabin yang masih aktif untuk mendapatkan ratusan penerbangan percuma daripada syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), menurut pendakwa persekutuan.
Dallas Pokornik, 33, dari Toronto, didakwa atas pertuduhan penipuan komunikasi (wire fraud) selepas dipercayai mengeksploitasi sistem perjalanan kakitangan syarikat penerbangan selama tempoh empat tahun.
Bagaimanapun, Pokornik mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut selepas diekstradisi ke Amerika Syarikat.
Pokornik dituduh mendakwa secara palsu yang dia merupakan seorang juruterbang syarikat penerbangan dan menggunakan kad pengenalan pekerja Air Canada yang direka-reka untuk mendapatkan tiket penerbangan percuma atau pada harga yang sangat rendah daripada tiga syarikat penerbangan yang berpangkalan di AS, lapor The Telegraph.
Pendakwa mendakwa skim itu berlangsung selama empat tahun dan menyebabkan syarikat penerbangan mengeluarkan tiket tanpa sebarang bayaran.
Pokornik sebelum ini bekerja sebagai pramugara Air Canada antara tahun 2017 hingga 2019. Penyiasat berkata, pengalaman itu membantunya memahami sistem tempahan syarikat penerbangan serta proses pengesahan kakitangan.
Gambar-gambar yang dimuat naik di akaun Facebook milik Pokornik turut menunjukkan gaya hidupnya yang mewah dengan percutian ke destinasi seperti New York, London, Thailand, Los Angeles dan Mexico.
Satu video pada September 2022 menunjukkan Pokornik menaiki jet peribadi dan berehat di kerusi kulit sambil memegang segelas wain.
Hantaran Facebook terakhirnya memaparkan dirinya di Phuket, Thailand, di mana dia bertanya kepada pengikut sama ada dia patut mengunjungi sebuah kelab pantai terapung.
Pokornik juga didakwa berulang kali cuba memujuk kakitangan syarikat penerbangan supaya membenarkannya duduk di kerusi ‘jump seat’ di kokpit, tempat duduk yang biasanya dikhaskan untuk juruterbang yang tidak bertugas, pelatih atau pemeriksa, walaupun dia tidak memiliki sijil juruterbang, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
Masih tidak jelas sama ada dia benar-benar pernah melakukan perjalanan di dalam kokpit.
Pendakwa AS enggan mengesahkan perkara itu, dan dokumen mahkamah juga tidak menyatakan sama ada sebarang permintaannya berjaya, lapor NBC.
Pokornik ditahan di Panama pada Januari lalu dan kemudiannya diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS), di mana dia telah didakwa di mahkamah persekutuan di Hawaii pada Oktober tahun lalu.
Seorang hakim majistret AS mengarahkan supaya dia terus ditahan, dengan alasan terdapat risiko melarikan diri.
Pendakwa mendakwa bahawa tiada sebarang syarat yang dapat menjamin dia akan hadir ke mahkamah sekiranya dibebaskan dengan ikat jamin.
Jika disabitkan kesalahan, Pokornik boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda sehingga 250,000 dolar (RM), serta tempoh pembebasan bersyarat di bawah pengawasan.
Pertuduhan ini turut mengundang perbandingan dengan filem tahun 2002, Catch Me If You Can, di mana Leonardo DiCaprio melakonkan watak penipu sebenar Frank Abagnale yang menyamar sebagai juruterbang Pan Am untuk mendapatkan penerbangan percuma.



