
Penyanyi dan pelakon Cha Eun Woo dihenyak kecaman susulan dakwaan pengelakan cukai berskala besar yang mencecah lebih 20 bilion won Korea (RM54.93 juta) baru-baru ini.
Menurut OSEN, pada 22 Januari, jenama penjagaan kulit Abib telah menukar video yang menampilkan Cha Eun Woo di saluran YouTube rasminya serta platform lain kepada mod peribadi (private).
Video-video tersebut kini tidak boleh diakses dan memaparkan notis seperti ‘This video is unavailable’ dan ‘This video is private’.
Selain itu, Abib turut memadam hantaran di X yang mengumumkan Cha Eun Woo sebagai duta jenama mereka. Namun begitu, imej promosi dan kandungan berkaitan peranannya sebagai duta masih kelihatan di laman web rasmi jenama tersebut.
Sementara itu, Cha Eun Woo dilaporkan telah menerima notis taksiran cukai pendapatan melebihi 20 bilion won Korea (RM54.93 juta)
Tahun lalu, Biro Siasatan 4 Pejabat Cukai Wilayah Seoul telah menjalankan siasatan intensif terhadap dakwaan pengelakan cukai yang melibatkan sebuah agensi milikan tunggal yang ditubuhkan oleh ibunya.
Susulan siasatan tersebut, pihak berkuasa cukai dilaporkan mengeluarkan notis yang menuntut bayaran tambahan cukai pendapatan melebihi 20 bilion won Korea (RM54.93 juta).
Abib sebelum ini mengumumkan Cha Eun Woo sebagai duta baharu mereka tahun lalu. Ketika itu, jenama berkenaan menyatakan Cha Eun Woo disukai ramai kerana imejnya yang unik dan pesona sofistikated, yang sangat selari dengan nilai jenama Abib.
Seorang wakil jenama turut menjelaskan bahawa imejnya yang bersih dan jernih paling mewakili falsafah Abib, sambil menambah perkara itulah yang menjadi sebab pemilihannya sebagai duta global.
Sumber: Allkpop



