“Saya Akan Bekerja Sampai Mati” – Pemandu E-Hailing Singapura Kesal Gugurkan Kewarganegaraan Malaysia

Seorang pengguna Reddit yang memperkenalkan dirinya sebagai warga Singapura baru-baru ini berkongsi satu perbualan tidak dijangka dengan seorang pemandu e-hailing.
Menurutnya, pemandu tersebut dahulunya merupakan seorang rakyat Malaysia sebelum bertukar menjadi warganegara Singapura.
Namun, bukannya berbangga dengan status baharu, pemandu itu mengakui dia menyesali keputusannya. Sebabnya mudah, kos sara hidup di Singapura.
Pemandu itu berkata, dia kini membayangkan dirinya akan bekerja sehingga mati, kerana perbelanjaan harian di Singapura terus meningkat. Sementara itu, simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang selesa semakin sukar dicapai.
Walaupun menyesal, pemandu itu berkongsi satu-satunya penyelamat dalam hidup ialah isterinya, yang masih memegang kewarganegaraan Malaysia.
Disebabkan itu, dia dan isterinya masih mempunyai pilihan untuk pulang ke Malaysia suatu hari nanti untuk bersara.
Namun, mengikut undang-undang kewarganegaraan Singapura, dua orang anak mereka secara automatik adalah warganegara Singapura.
Hal ini bermakna, pada masa hadapan, anak-anak itu perlu berdepan dengan tanggungjawab seperti Perkhidmatan Negara (National Service), yang boleh menjadi cabaran besar dalam kehidupan mereka kelak.
Pengguna Reddit itu kemudian berpesan kepada rakyat Malaysia secara langsung. Menurutnya, dia mengakui ramai rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan situasi politik tempatan. Namun, menurutnya, melepaskan kewarganegaraan Malaysia adalah satu pertukaran yang jauh lebih besar daripada yang disangka.
Dari sudut pandangnya, Malaysia menawarkan perkara-perkara yang Singapura tidak mampu sediakan.
Dia menjelaskan, sekurang-kurangnya rakyat Malaysia mempunyai lebih banyak tanah dan ruang. Ada yang boleh menanam sayur atau buah di rumah, atau hidup tenang di kampung, jauh dari kesibukan pusat bandar.
Pengguna Reddit itu turut berkongsi tentang bagaimana ramai rakyat Malaysia sepatutnya melihat Singapura sebagai tempat untuk mencari rezeki, bukan semestinya tempat untuk menetap secara kekal.



