GlobalLakon Layar

Jackie Chan Rakam Lagu Perpisahan, Hanya Dilancarkan Selepas Dia Meninggal Dunia

Bintang terkenal Hong Kong, Jackie Chan, baru-baru ini berkongsi yang dia telah merakamkan sebuah lagu perpisahan yang hanya akan didedahkan kepada umum selepas kematiannya.

Pelakon berusia 71 tahun itu mendedahkan perkara tersebut ketika menghadiri tayangan perdana sebuah filem di Beijing, China.

Menurut Jackie, dia banyak berfikir tentang kehidupan, proses penuaan dan kematian sejak kebelakangan ini.

“Saya sering terfikir bagaimana saya akan pergi… mungkin saya boleh buat satu aksi berbahaya, mati dan jadi legenda,” katanya berseloroh.

Jackie berkata, kehilangan ramai ahli keluarga dan rakan rapat sejak beberapa tahun lalu turut mendorongnya untuk berfikir lebih mendalam tentang kehidupan.

Walaupun begitu, dia tetap mempunyai pandangan positif terhadap proses penuaan.

“Semua orang akan tua akhirnya, dan adalah satu kegembiraan untuk menua secara perlahan-lahan.

“Kami yang sudah berusia ini sebenarnya sangat bertuah,” tambahnya.

Menurut portal berita Singapura 8days, Jackie telah kehilangan beberapa rakan rapat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Antara yang telah meninggal dunia termasuk bintang seni mempertahankan diri Cheng Pei Pei dan Corey Yuen, komposer Taiwan Liu Chia Chang, pelakon Hong Kong Li Lili serta pengkritik makanan terkenal Chua Lam.

Laporan terkini juga menyatakan yang Jackie kini berusaha untuk kembali membaiki hubungan dengan anak perempuannya yang telah lama terpisah, Etta Ng Chok Lam, yang dilahirkan di luar perkahwinan.

Habis.

Related Articles

Back to top button