
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 47, tampil memberikan respons susulan dakwaan seorang individu yang sinonim dengan penganjuran konsert iaitu Iman Tang, kononnya menyindir penganjuran Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung hujung minggu lalu.
Pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin membalas persoalan seorang netizen di Threads yang bertanya sama ada dia pernah menolak tawaran Iman untuk bekerjasama sebagai penganjur konsert.
Siti menjelaskan dia tidak pernah menerima sebarang tawaran daripada individu berkenaan sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa isu tersebut dibangkitkan.
“Saya rasa tak pernah ada tawaran. Kenapa dia buat begitu? Apakah salah saya pada dia? Apakah yang telah saya lakukan,” tulisnya.
Tidak sekadar itu, Siti turut menyelitkan unsur humor apabila memetik bait lirik lagu popularnya, Jerat Percintaan, sebagai tanda berseloroh.
“Oh apakah kita kan teruskan, di dalam arus percintaan, perlukah kita… Haaaa sambung,” tulisnya bersahaja.
Terdahulu, Iman mencetuskan kontroversi apabila memuat naik satu hantaran di Instagram Story yang didakwa menyindir penganjuran sebuah konsert, malah menyifatkan persembahan itu sebagai membosankan.
“Nothing new, still the same and repeat concept. Boring,” tulis Iman.
Walaupun tidak menyebut nama mana-mana artis, ramai netizen khususnya peminat Siti percaya kenyataan tersebut merujuk kepada Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.
Susulan itu, Iman menerima kecaman hebat daripada netizen sehingga ada yang menyuarakan hasrat untuk memboikot konsert anjurannya pada masa akan datang.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan lebih 65,000 peminat.



