Isu MUAFAKAT Saman Rita Rudaini, Azhar Sulaiman Mohon MARA Tampil Jernih Keadaan
Pelakon, Azhar Sulaiman, 54, tampil memberikan pandangan susulan isu saman yang diterima pelakon Rita Rudaini daripada Yang Dipertua MUAFAKAT Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.
Azhar menekankan pentingnya penjelasan daripada pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi meredakan kekeliruan awam.
Menurut aktor itu, berdasarkan pemerhatiannya di media sosial, ramai ibu bapa bersetuju dengan tindakan Rita berhubung isu pemilihan pelajar ke institusi berkenaan dan berharap Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tampil memberi penjelasan.
“Assalamualaikum kepada bos Mara yang kami hormati. Berdasarkan tinjauan saya terhadap suara rakyat di media sosial, rata-rata ibu bapa sependapat dengan Rita Rudaini mengenai isu pemilihan pelajar ke Mara.
“Mungkin sedikit penjelasan daripada pihak tuan dapat menjernihkan keadaan yang mula menjadi kusut tanpa sebab yang jelas untuk Mara. Terima kasih bos,” tulisnya di Facebook.
Sebelum ini, dua tokoh akademik mengambil tindakan undang-undang terhadap Rita Rudaini selepas mendakwa kenyataan fitnah berlarutan beberapa bulan dan notis tuntutan RM1 juta tidak dipatuhi.
Peguam mereka, Datuk Adnan Seman, menjelaskan saman difailkan selepas Rita memuat naik kenyataan berbaur fitnah melalui Instagram, WhatsApp dan beberapa platform lain, yang berpotensi menjejaskan reputasi kedua-dua plaintif memandangkan bilangan pengikut Rita yang ramai.
Tindakan saman tersebut juga dilakukan selepas Rita gagal memenuhi tuntutan notis bertarikh 15 Oktober lalu.
Sebelum ini, Rita mendakwa wujud kepincangan dalam kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau dikenali sebagai MUAFAKAT di MRSM Sungai Besar.
