Catat Sejarah Baharu, Barbarik ‘Rasmi’ Odean KL

Catat Sejarah Baharu, Barbarik ‘Rasmi’ Odean KL

Kumpulan Barbarik yang dianggotai oleh Joe Branko, Muss, Rozaimi dan Ainol mencatatkan sejarah baharu apabila menjadi artis pertama yang bakal membuat persembahan di pentas Odeon KL setelah melalui proses naik taraf.

Menggunakan jenama Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL, konsert ini akan berlangsung pada 12 Disember ini yang dianjurkan oleh Odeon KL dan Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd.

Pemilihan Barbarik bukan sahaja berpaksikan reputasi mereka dalam dunia muzik ‘keras’, tetapi juga kemampuan muzik mereka sebagai ‘ujian sebenar’ terhadap sistem bunyi, akustik dan kelengkapan teknikal baharu Odeon KL. 

Kejayaan siri konsert Peluru Cokelat pada Jun lalu serta sokongan luar biasa komuniti Rejim Barbarik turut mengukuhkan lagi keputusan tersebut.

Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd, Mozylir Mokhtaruddin selaku penganjur berkata, pihaknya berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan band popular itu di masa akan datang.

“Pihak penganjur tertarik untuk menjemput Barbarik sebagai artis pertama tampil membuat persembahan di Odeon KL selepas melihat aksi hebat mereka ketika membuat persembahan di Zepp Kuala Lumpur.

“Selepas melihat sambutan peminat sehingga kesemua tiket habis terjual, kami berharap agar kolaborasi ini akan dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya. 

Odean KL kini berwajah baharu selepas melalui beberapa transformasi.

Sambutan terhadap konsert pembukaan ini amat menggalakkan apabila semua tiket habis dijual, dengan kehadiran dijangka mencecah 2,500 orang peminat pada malam bersejarah itu.

Menyorot kembali sejarah Odeon KL, bangunan tersebut merupakan sebuah panggung wayang tertua dan paling ikonik di Malaysia sejak 1936 yang sudah melalui fasa transformasi besar untuk kembali bernafas sebagai pusat seni persembahan berskala profesional di tengah ibu kota. 

Terletak di atas tanah milik UDA Holdings Berhad, Odeon KL kini dalam proses penaiktarafan menyeluruh dan diuruskan sepenuhnya oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd.

Dengan lokasi strategik di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hanya 300 meter dari Stesen LRT Bandaraya dan 500 meter dari Stesen Monorel Medan Tuanku, Odeon KL berada dalam lingkungan akses paling mudah di pusat bandar. 

Ia turut dikelilingi beberapa pusat membeli-belah utama seperti Kompleks Pertama, Kompleks Sogo dan Kompleks Campbell, menjadikannya destinasi ideal untuk pengunjung tempatan, pelancong serta peminat seni.

Mereka juga membawa visi segar untuk menjenamakan Odeon KL sebagai hab acara merangkumi dewan konsert, ruang aktiviti, seni persembahan dan platform kebudayaan. 

Melalui perancangan pembangunan 10 tahun, Rockstation memperuntukkan RM6 juta bagi memulihara, menaik taraf dan melengkapkan Odeon KL dengan kemudahan moden tanpa menjejaskan nilai sejarah bangunan warisan ini.

Related post

Leave a Reply