Ella Beramal Secara Senyap, Bantu Ramai Rakan Artis & Golongan Memerlukan

Ella Beramal Secara Senyap, Bantu Ramai Rakan Artis & Golongan Memerlukan

Sering tersentuh dengan kesusahan masyarakat yang memerlukan, Ratu Rock negara, Ella, sebenarnya antara figura seni yang aktif melakukan kerja kebajikan secara peribadi tanpa banyak publisiti.

Perkara itu diakui suaminya, Kapten Azhar Ghazali, yang mendedahkan bahawa Ella lebih selesa membantu secara diam-diam demi menjaga maruah dan privasi pihak yang dibantu.

“Sebagai contoh, Ella pernah menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan, menyantuni mangsa perang Syria di khemah pelarian.

“Dia juga terlibat bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memberi idea untuk pembangunan pemikiran belia di sekolah-sekolah seni, bagi membentuk generasi baharu dalam muzik.

“Selain itu, Ella pernah turun padang menyantuni gelandangan dengan menghulurkan makanan. Cuma semua itu tidak diumumkan,” katanya ditemui pada Sidang Media Pengumuman Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen.

Menurut Azhar lagi, Ella memilih untuk merahsiakan aktiviti kebajikan kerana tidak mahu menyinggung perasaan penerima.

“Orang yang menerima sumbangan mungkin berasa malu, jadi kita jaga sensitiviti dan privasi mereka.

“Ella memang ada senarai nama individu memerlukan daripada pelbagai pihak, tetapi mereka sendiri tidak tahu bahawa bantuan yang diterima secara konsisten itu sebenarnya daripada Ella,” ujarnya.

Golongan yang dibantu itu terdiri daripada rakan artis, kenalan, keluarga yang kesempitan, mereka yang mempunyai anak kurang upaya serta individu sakit.

Dalam perkembangan lain, Ella bakal menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi konsert berskala besar pada 14 Februari 2026.

Menariknya, setiap pembelian tiket akan disalurkan kepada tiga organisasi kebajikan, dan pembeli boleh memilih tabung sumbangan.

Related post

Leave a Reply