Konsert Dibatalkan & Lokasi Kosong Tanpa Penonton, Ayumi Hamasaki Teruskan Persembahan

Konsert Dibatalkan & Lokasi Kosong Tanpa Penonton, Ayumi Hamasaki Teruskan Persembahan

Penyanyi popular Jepun, Ayumi Hamasaki tetap meneruskan persembahan konsert berskala penuh di sebuah arena kosong di Shanghai selepas pihak berkuasa China membatalkan konsertnya pada Sabtu, 29 November, hanya sehari sebelum ia sepatutnya berlangsung.

Penganjur konsert meletakkan alasan ‘force majeure’ sebagai sebab pembatalan. Sementara itu, timbul spekulasi bahawa konsert berkenaan diteruskan kerana mungkin dirakam untuk dikeluarkan pada tarikh lain.

Bintang berusia 47 tahun itu memuat naik beberapa foto lokasi yang kosong di Instagram, sambil menyatakan yang walaupun teater berkapasiti 14,000 tempat duduk itu kosong, dia masih dapat merasai begitu banyak kasih sayang dari seluruh dunia.

Dia turut berterima kasih kepada lebih 200 kru Jepun dan China yang bekerja selama lima hari menyiapkan pentas.

“Saya masih percaya hiburan seharusnya menjadi jambatan yang menyatukan manusia, dan saya mahu terus membina jambatan itu,” tulisnya.

Walaupun konsert tersebut dibatalkan, Ayumi tetap melakukan persembahan tanpa dihadiri penonton.

Ketegasan dan profesionalismenya meneruskan konsert itu mendapat pujian ramai di ruangan komen.

Jelajah Asia Hamasaki bermula di Hong Kong pada 2025. Beberapa artis dan penghibur Jepun sebelum ini turut mengalami pembatalan atau penangguhan konsert serta acara hiburan mereka di China.

Situasi ini berlaku selepas Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae, membuat kenyataan sambil memberi bayangan yang Jepun mungkin akan terlibat secara ketenteraan di Taiwan.

China kemudian bertindak dengan kritikan keras selama beberapa hari, namun Takaichi berkata beliau tidak bercadang menarik balik kenyataannya.

Related post

Leave a Reply