Filem ZERO Dijangka Pecah Panggung, Bongkar Sisi Gelap Sindiket Pemerdagangan Manusia
Industri perfileman tempatan bakal digegarkan dengan kemunculan ZERO, sebuah filem aksi thriller yang disifatkan sebagai antara naskhah paling berani pernah dihasilkan di Malaysia.
Karya arahan dan tulisan Andre Chiew itu membawa penonton menyusuri sisi pasaran gelap Asia Tenggara, wilayah yang dipenuhi rahsia di mana keadilan kerap membisu dan kelangsungan hidup memerlukan pertaruhan besar.
Berlatarbelakangkan dunia ekonomi gelap negara, ZERO mengangkat kisah Inspektor Hazim, seorang pegawai polis idealis yang nekad membanteras sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi melangkaui capaian undang-undang.
Bermula sebagai serbuan yang kemudian bertukar menjadi misi sulit apabila Hazim ditarik masuk ke dalam unit rahsia dikenali sebagai Zero Case iaitu sebuah operasi gelap.
Tanpa sedar, langkahnya itu menyeret Hazim ke dunia di mana setiap keputusan perlu dibayar dengan darah, manakala setiap kebenaran hadir bersama pengorbanan.
ZERO menampilkan konflik moral yang mendebarkan, mengajak penonton menyaksikan bagaimana batas undang-undang, kesetiaan dan kemanusiaan diuji dalam dunia penuh operasi sulit.
ZERO menampilkan Hun Haqeem sebagai Hazim, watak yang digambarkan sebagai ‘The Compass’, sementara Tony Eusoff pula membawakan karakter Zahir, figura misteri digelar ‘The Demon of Justice’.
Sementara itu, Iedil Dzuhrie Alaudin memegang watak Illyas, diikuti Que Haidar sebagai Dr. Arif yang dikenali sebagai ‘The Surgeon of Belief’.
Turut membintangi ialah Sazzy Falak sebagai Dr. Rayna, Harissa Adlynn sebagai Aisha, Sathivaran sebagai Manu dan Fabian Loo sebagai Kit.
Dengan tema menyentuh isu operasi sulit, pemerdagangan manusia dan dilema moral, ZERO dijangka menjadi antara filem tempatan paling mencuri perhatian tahun ini.
Trelernya sahaja sudah cukup memberi gambaran naskhah ini bakal menghadirkan pengalaman mendebarkan, penuh kejutan dan sarat elemen psikologi yang mengundang persoalan tentang batas keadilan dan harga sebenar kebenaran.
