‘Saya Tak Terasa Pun Apabila Nama Tidak Disebut’ – Adam Lee

‘Saya Tak Terasa Pun Apabila Nama Tidak Disebut’ – Adam Lee

Pelakon Adam Lee, 31, mengakui tidak terasa hati apabila namanya tidak disebut ketika isterinya, aktres Sweet Qismina, merangkuk dua anugerah besar baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee berkata, dia memahami sepenuhnya keadaan Sweet yang kelihatan gugup di atas pentas dan menganggap perkara itu bukan satu isu pun.

Menurutnya, rasa gemuruh itu lumrah dalam dunia hiburan, apatah lagi bagi mereka yang tidak menjangka kemenangan.

“Saya tak terasa pun apabila nama tidak disebut sebab saya dah tahu. Masa mula-mula tengok video kemenangan, nampak dia sangat gugup.

“Lagi pula dia tidak menjangkakan untuk menang, jadi tentulah ucapannya juga kurang tersusun dan seperti tidak bersedia.

“Sebagai anak seni, saya sangat faham benda itu dan tidak perlu ada isu pun patutnya,” katanya.

Tambah Adam, pengalaman berada di pentas besar sememangnya mencabar, terutama bagi mereka yang menerima anugerah kategori terbaik.

“Saya memang sangat faham. Macam masa dia menang Festival Filem Malaysia baru-baru ini, dia cakap memang gementar.

“Saya pernah berada di pentas itu, walaupun hanya sekali, suara saya pernah terkucil tau, punyalah gugup. Jadi saya faham sangat perasaan tersebut.

“Itu saya penyampai sahaja, bayangkan Sweet yang diumumkan menang. Tuhan saja tahu perasaan itu,” jelasnya lagi.

Apa yang lebih penting untuk Adam, sebagai suami, penghargaan bukan terletak apabila disebutnya nama di atas pentas, tetapi pada sokongan yang sentiasa diberikan dalam apa jua yang dilakukan pasangan.

“Sebenarnya pada malam itu, kalau ikut bahasa orang putih, dia kata ‘backbone’. Tulang belakang tu kalau difahamkan sebenarnya merujuk kepada saya lah.

“Rakyat Malaysia mungkin tak faham, tapi saya faham,” ujarnya.

Terdahulu, Sweet menambah satu lagi kejayaan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AIFFA2025, menewaskan Hong Dao (Vietnam), Imelda Budiman (Indonesia), Zulfa Maharani (Indonesia) dan Katrina Halili (Filipina).

Sebelum ini, Sweet turut meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM34 menerusi filem yang sama.

Related post

Leave a Reply