Aisha Retno Teruja Jumpa Ariana Grande & Cynthia Erivo

Aisha Retno Teruja Jumpa Ariana Grande & Cynthia Erivo

Penyanyi, Aisha Retno, 25, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila berpeluang bertentang mata dengan dua bintang Hollywood, Ariana Grande dan Cynthia Erivo, pada acara tayangan perdana Wicked: For Good di Universal Studios Singapore.

Pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, hadir sebagai jemputan khas ke acara berprestij itu, dipercayai kerana penglibatannya sebagai pelakon suara bagi versi Bahasa Malaysia filem Wicked.

Dalam perkongsian di Instagram, Aisha meluahkan rasa sebak dan terharu apabila dapat bertemu dengan kedua-dua idolanya itu.

“Mewakili Malaysia untuk tayangan perdana filem Wicked, saya sayang awak Ari. Saya sayang awak, Cynthia.

“Hidup saya berubah menjadi lebih baik kerana dua individu hebat ini. Saya sudah menjadi peminat mereka sejak dahulu lagi,” tulisnya.

Bukan sekadar berjumpa, Aisha juga memanfaatkan momen berharga itu dengan menyanyikan lagu runut bunyi For Good bersama Ariana dan Cynthia sekali gus menjadi satu detik yang pastinya menjadi kenangan paling indah dalam kerjayanya.

Sebagai simbolik dan tanda penghargaan, pelantun Sutera itu turut menghadiahkan kedua-dua pelakon utama Wicked sehelai kain batik Malaysia, sesuatu yang mewakili identiti budaya negara.

Untuk rekod, Aisha sebelum ini terpilih sebagai penyumbang suara watak Glinda yang dibawakan oleh Ariana Grande bagi versi alih suara Bahasa Malaysia filem Wicked.

Related post

Leave a Reply