Najwa Latiff Timang Cahaya Mata Sulung, Tarikh Lahir Anak Sama ‘Anniversary’ Perkahwinan
Penyanyi dan komposer, Najwa Latif selamat melahirkan cahaya mata sulung lelaki pada Selasa.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh suami Najwa iaitu Akwa Arifin menerusi hantaran di Instagram.
Menurutnya, kelahiran zuriat pertama mereka bukan sahaja menjadi anugerah terindah, tetapi hadir pada tarikh simbolik 11 November 2025 yang menandakan ulang tahun ketiga perkahwinan pasangan itu.
“Alhamdulillah, Najwa dan saya bersyukur serta teruja untuk berkongsi bahawa kami dikurniakan cahaya mata pada 11.11.2025.
“Tarikh ini lebih bermakna kerana ia juga ulang tahun ketiga perkahwinan kami,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Akwa turut menzahirkan rasa syukur atas rezeki tersebut dan memohon agar orang ramai terus menitipkan doa yang baik-baik buat mereka sekeluarga.
“Doakan yang baik-baik untuk kami, dan semoga segala doa indah kalian kembali berlipat ganda buat kalian juga, insya-Allah,” katanya lagi.
Terdahulu, Najwa pernah berkongsi kisah keguguran yang dialaminya pada Disember tahun lalu.
Imbas kembali, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 11 November 2022.
