Ayda Jebat Terkilan Nama Bapa Jadi Bahan Gurauan – ‘Anak Jebat Derhaka’

Ayda Jebat Terkilan Nama Bapa Jadi Bahan Gurauan – ‘Anak Jebat Derhaka’

Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat, 33, meluahkan rasa terkilan dengan segelintir individu yang tidak sensitif apabila bergurau dengan memanggil nama bapanya sebagai “Jebat Derhaka”.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat, gurauan itu bukan sekadar janggal didengar, malah menyinggung hatinya kerana bapanya kini sedang melawan penyakit strok dan masih dalam proses pemulihan.

“Kadang-kadang saya tak tahu nak ambil hati atau tidak. Ada pakcik makcik yang tegur, ‘Oh, ni lah Ayda Jebat! Anak si Jebat Derhaka tu!’ sambil ketawa.

“Kan itu nama bapa saya. Orang tu tengah berusaha nak pulih daripada strok, tapi boleh pula dijadikan bahan gurauan,” luahnya menerusi platform Threads.

Jelas pelantun lagu Temberang itu lagi, situasi tersebut membuatkannya serba salah untuk memberi reaksi kerana gurauan itu datang daripada orang yang lebih tua.

“Kalau orang muda, mungkin saya boleh tegur terus. Tapi sebab orang tua, saya cuma senyum sajalah.

“Saya kongsi perkara ini sebab semalam hari lahir papa, dan kejadian itu pun baru berlaku. Jadi terasa sangat di hati,” katanya lagi.

Perkongsian ibu dua cahaya mata itu mendapat perhatian ramai, dengan rata-rata netizen menyuarakan rasa simpati serta menasihati masyarakat agar lebih berhati-hati dalam berjenaka, terutama jika melibatkan keluarga dan orang sakit.

Ada juga peminat yang menitipkan doa agar bapa Ayda cepat sembuh, selain menegaskan bahawa gurauan seperti itu boleh melukakan hati tanpa disedari.

Insiden seperti ini bukanlah perkara baharu dalam dunia hiburan. Sebelum ini, beberapa selebriti lain seperti Anna Jobling dan Aina Abdul juga pernah berdepan situasi sama apabila nama atau keluarga mereka dijadikan bahan gurauan oleh segelintir pihak yang kurang peka.

Related post

Leave a Reply