Sabronzo Dolla Akan Bimbing Suami Tentang Agama Islam

Sabronzo Dolla Akan Bimbing Suami Tentang Agama Islam

Selepas sebulan bergelar isteri, penyanyi dan ahli kumpulan Dolla, Sabronzo, 30, akhirnya membuka kisah kehidupannya bersama suami, Ryan Fieret atau lebih dikenali sebagai DJ Dash Berlin.

Pemilik nama sebenar Wan Sabrina Wan Rusli berkata, kehidupannya kini lebih tenang dan bahagia, malah menganggap fasa baharu ini sebagai anugerah terbesar dalam hidupnya.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Saya kini lebih tenang dan damai bersama suami. Dalam rumah tangga, saya percaya tak perlu terlalu terbuka berkongsi semua hal kerana ia sesuatu yang sangat peribadi.

“Suami saya baru sahaja memeluk Islam, jadi fokus saya sekarang adalah membimbing dan membantunya memahami ajaran agama dengan cara yang lembut dan berperingkat.

“Agama lama dia pun menekankan soal kedamaian, jadi kami berdua cuba mengekalkan nilai itu dalam kehidupan bersama. Selagi hidup kami dipenuhi kebaikan dan cinta, insya-Allah semuanya baik-baik saja,” katanya.

Mengulas mengenai kehidupannya selepas berkahwin, Sabronzo mengakui tidak banyak yang berubah, namun dia bersyukur dikurniakan pasangan yang sangat memahami serta menyokong penuh perjalanan seninya.

“Alhamdulillah, selepas berkahwin, saya rasa lebih tenang. Tak banyak beza pun dengan sebelum ini, cuma sekarang bila balik kerja, ada teman untuk berkongsi cerita.

“Itu sudah cukup membahagiakan. Suami saya sangat memahami, malah dia juga selalu beri kata semangat setiap kali saya rasa penat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Sabronzo menafikan dakwaan kononnya perkahwinan boleh menjejaskan komitmennya terhadap kumpulan Dolla. Sebaliknya, dia melihat itu sebagai satu motivasi baharu untuk terus cemerlang dalam karier.

“Saya masih Sabronzo yang sama. Dolla tetap menjadi keutamaan dan saya akan terus beri komitmen penuh. Suami pun sangat menyokong kerjaya saya sebab dia sendiri faham dunia muzik. Jadi, tiada isu langsung tentang gangguan atau kekangan selepas berkahwin,” jelasnya.

Sabronzo sebelum ini mengejutkan peminat apabila berkongsi berita perkahwinannya di media sosial pada 29 September lalu.

Pasangan itu mengadakan majlis resepsi meriah di Bali, Indonesia pada 25 September, kira-kira dua minggu selepas selamat disatukan.

Related post

Leave a Reply