Pengurus Siti Nordiana Nafi Mereka Sudah Bernikah
Pengurus kepada penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana iaitu Anas Osman, menafikan dakwaan kononnya dia mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi tersebut.
Menurut Anas, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali kerana hubungan mereka hanya bersifat profesional sejak dia mula menguruskan kerjaya Siti Nordiana ketika penyanyi itu menyertai Gegar Vaganza (GV) musim kedua pada tahun 2015.
“Kami tidak ada hubungan istimewa dan tidak bercinta. Saya hanya pengurus yang menguruskan karier Siti Nordiana. Hal ini sudah banyak kali saya jelaskan, malah Nana sendiri pun pernah menafikannya, tetapi masih ada yang tidak percaya.
“Ada juga gosip mengatakan kami sudah berkahwin dan berstatus suami isteri. Sebenarnya tidak ada pun perkahwinan itu. Kalau betul kami berkahwin, buat apa nak sembunyi,” katanya.
Tambah Anas, walaupun tidak gemar melayan gosip, kadangkala dia terpaksa tampil memberikan penjelasan apabila isu sama terus berulang.
“Saya tak layan sangat benda-benda macam ini, tapi kadang-kadang kena juga bersuara. Saya dah cakap perkara sebenar, terpulanglah pada orang sama ada nak percaya atau tidak.
“Apa yang penting, saya bekerja secara profesional sebagai pengurus dan artis jagaan saya,” ujarnya lagi.
Anas dalam masa sama meminta agar orang ramai menghormati perasaan Siti Nordiana, terutama kerana penyanyi itu mempunyai seorang anak, Mohd Rayyan Nakhaie yang kini berusia 17 tahun.
“Saya kasihan dengan Nana sebab dia ada anak yang sedang membesar. Tentu tidak selesa bila ibunya dikaitkan dengan gosip yang tidak benar,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Jelas Anas, sepanjang menjadi pengurus kepada Siti Nordiana, tugasnya hanya tertumpu kepada urusan kerja termasuk rundingan persembahan nyanyian serta tawaran lakonan dan tidak pernah lebih daripada itu.
